KUALA TERENGGANU: Skuad Terengganu enggan mendabik dada, malah bertekad mahu meneruskan langkah cemerlang berdepan pasukan lain bagi meneruskan cabaran bola sepak Liga Perdana musim ini. Jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim berkata kemenangan 2-1 ketika berdepan MISC-MIFA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini Jumaat malam, adalah pencapaian yang masih terlalu 'baharu' untuk dinilai. "Bukan senang menewaskan MISC-MIFA walaupun mereka telah kalah dua kali berturut-turut dalam perlawanan sebelum ini. Aksi agak perlahan pada separuh masa pertama dan kami menukar strategi supaya lebih pantas selepas itu. "Yang penting adalah memperoleh tiga mata. Perjalanan masih panjang...masih ada lagi 20 perlawanan," katanya seperti dilaporkan Bernama. Bagi perlawanan seterusnya, Irfan Bakti berkata strategi harus disusun dengan menggerakkan pemain terbaik terutama pemain import dari Brazil, Federico Matias Falcone. Katanya, pemain lain turut diingatkan supaya tidak hanya bergantung kepada penyerang itu sahaja dan perlu fokus pada posisi masing-masing serta pantas mengatur serangan. "Selepas ini, kita akan berdepan pasukan yang lebih kuat lagi, dan sebaiknya pasukan memanfaatkan perlawanan di laman sendiri bagi mengumpul mata sebanyaknya," katanya yang turut memuji keserasian pemain ketika beraksi Jumaat malam. Gol skuad Penyu dijaringkan pemain import dari Uzbekistan, Lutfulla Turaev pada minit ke-46 dan 61 manakala gol MISC-MIFA dijaringkan Micheal Ijezie Chukwubunna (Nigeria) pada minit ke-78. Sementara itu, jurulatih MISC-MIFA Jacob Joseph berkata walaupun kalah dengan Terenggau, jaringan tunggal itu amat bermakna setelah mereka kalah dalam dua perlawanan sebelum ini. "Hasrat pasukan kami mahu terus berada dalam Liga Perdana dan cabaran kami tentunya kerana masalah kewangan yang tidak membolehkan kami memperoleh pemain terbaik, namun pemain sedia ada ini telah menunjukkan mutu permainan yang baik," katanya.