KUALA LUMPUR: Pahang mengekalkan kedudukan teratas Liga Super selepas menang tipis 1-0 ke atas Sarawak pada aksi di Stadium Negeri Petra Jaya, Kuching malam Sabtu. Jaringan tunggal pemain import dari Nigeria, Chinedu Bright Ezendu Dike pada minit ke-25 memastikan Pahang melakar kemenangan kedua daripada tiga perlawanan setakat ini. Perak pula melonjak ke tangga kedua liga selepas menang tipis 3-2 ke atas Melaka United di Stadium Perak, Ipoh. Beraksi tanpa ketiadaan penonton nyata tidak menjejaskan rentak permainan pasukan tuan rumah yang meraih gol menerusi Mohd Nazrin Nawi pada minit ke-30, Yashir Pinto (minit ke-63) dan Vladislav Mitkov Mirchev pada masa kecederaan. Melaka United meraih gol menerusi Jeon Woo-young pada minit ke-43 dan Izzaq Faris Ramlan pada minit ke-78. Perak sebelum ini dikenakan hukuman beraksi tiga perlawanan tanpa penonton oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) susulan tindakan liar penyokong mereka ketika melayan kunjungan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) di laman sendiri pada 6 Ogos tahun lepas. Kedah pula naik satu anak tangga ke kedudukan ketiga liga walaupun seri 1-1 menentang Felda United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang. Ken Ilso Larsen meletakkan Kedah di hadapan menerusi gol pembukaan pada minit ke-23 sebelum Muhammad Hadin Azman menyamakan kedudukan untuk skuad 'The Fighters' pada minit ke-57. Turut meraih tiga mata adalah pasukan T-Team yang menang tipis 1-0 ke atas Pulau Pinang pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, hasil jaringan tunggal Mamadou Samassauad pada minit ke-70. Dalam pada itu, jaringan hatrik Patrick Ronaldinho Wleh menyaksikan PKNS FC mengatasi Selangor 5-3 pada aksi di Stadium Shah Alam. Patrick menjaringkan gol pada minit ke-20, 42 dan 57, selain gol menerusi Mohd Safee Sali (minit ke-24) dan Matias Hadwa pada minit ke-47. Tiga gol Selangor dihasilkan oleh Muhammad Syahmi Safari pada minit pertama dan dua gol Francis Forkey Doe pada minit ke-27 dan 54. Terdahulu, Selangor terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Mohd Raimi Mohd Nor mengutip kad kuning kedua pada minit ke-71. Aksi antara JDT dan Kelantan yang dijadual berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baru malam Sabtu, ditangguh ke satu tarikh baharu berikutan JDT terlibat dengan aksi play-off Liga Juara-juara Asia menentang kelab Jepun, Gamba Osaka di tempat lawan pada Selasa ini. - BERNAMA