suria

Felcra FA, PBMS FC Lepasi Pusingan Pertama Piala FA

Aksi pemain pasukan Felcra FC Mohd Firdaus Azizul (kanan) meraikan kejayaan bersama rakan sepasukan setelah berjaya menjaringkan gol hasil sepakan penalti ketika menentang Penjara FC dalam Piala FA di Stadium Mini Penjara Kajang pada 5 Februari 2017. - BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pasukan Felcra dan Persatuan Bola Sepak Melayu Selangor (PBMS) FC mara ke pusingan kedua Piala FA selepas menewaskan lawan masing-masing pada pusingan pertama, Ahad.

Felcra menewaskan pasukan tuan rumah, Penjara FC 2-0 di Stadium Mini Penjara, Kajang, dan bakal berdepan Terengganu pada pusingan kedua 14 Februari ini.

Pasukan pelawat membuka jaringan seawal minit ketiga menerusi Mohd Firdaus Azizul yang menyempurnakan sepakan penalti dihadiahkan pengadil perlawanan, P. Jeevanathan.

Skuad kendalian Yusri Che Lah itu kemudian menggandakan jaringan menerusi Mohd Syazwan Mohd Ashraf Mathews pada minit ke-43, sekaligus mengesahkan tempat  Felcra di pusingan kedua.

Di Stadium Hang Tuah, Melaka, jaringan tunggal Mohd Fadli Baharuddin pada minit ke-61 membantu PBMS FC mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas pasukan tuan rumah, Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) FC.

PBMS FC seterusnya bakal berdepan cabaran getir menentang pasukan Liga Super Perak pada pusingan kedua, 15 Februari ini.

Sementara itu, AirAsia Allstars FC dan MOF FC layak secara automatik ke pusingan kedua selepas lawan masing-masing, DYS FC dan Sungai Ara FC menarik diri daripada saingan Piala FA tahun ini.

Pada pusingan kedua 14 Februari ini, AirAsia Allstars FC akan bertemu UiTM FC,  manakala MOF FC akan menentang KDMM FC sehari kemudian, di venue yang akan ditetapkan kemudian. - BERNAMA

Felcra FC, PBMS FC, Piala FA

Artikel Sebelum

Artikel Lain