EDINSON Cavani dan Angel Di Maria mempamerkan sentuhan berbisa ketika kedua-duanya menjulang Paris Saint Germain (PSG) meraih kemenangan 3-0 ke atas Bordeaux, awal pagi Sabtu. Kemenangan itu dilihat pemanas badan terbaik buat PSG sebelum menghadapi aksi Liga Juara-Juara menentang Barcelona, Rabu ini. PSG kini berkongsi 55 mata dengan Monaco tetapi dipisahkan dengan perbezaan jaringan dan pendahulu Ligue 1 itu hanya dijadualkan bertemu Metz, awal pagi Ahad. Perlawanan pagi Sabtu menyaksikan Marco Verratti membuat penampilan semula bersama PSG selepas tersisih empat perlawanan terakhir ekoran kecederaan betis. Jurulatih PSG, Unai Emery juga kembali mendapatkan khidmat penjaga gol utama mereka, Kevin Trapp manakala Thiago Silva diberikan rehat untuk aksi bertemu Barcelona nanti. Dalam perlawanan tersebut, Cavani hanya memerlukan enam minit untuk meletakkan PSG di depan. Di Maria kemudiannya menambah derita lawan, lima minit sebelum babak pertama berakhir. Pada aksi babak kedua, Cavani terus mempamerkan sentuhan jaringan berbisa apabila meledak gol kedua pada minit ke-47.