suria

Pingat ACC Semangat Baharu Sukan Berbasikal Negara

NEW DELHI: Tiga pingat yang dimenangi skuad berbasikal Malaysia di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di sini bukan sahaja dapat meningkatkan ranking negara, malah membantu pembangunan sukan itu. 

Pengurus pasukan, Mohd Izham Mohamad berkata kejohanan ACC membolehkan skuad negara mempersiapkan diri menghadapi pertandingan yang lebih besar.

"Ia juga membolehkan pelumba negara mengumpulkan mata untuk melayakkan diri ke Kejohanan Dunia, sekali gus meningkatkan ranking dunia.

"Kejohanan di New Delhi ini juga membantu pelumba remaja negara kerana kami sedang memberi tumpuan membangunkan pelumba generasi baru," katanya kepada Bernama.

Pemenang pingat gangsa acara keirin di Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Mohd Azizulhasni Awang meraih emas dalam acara pecut individu elit lelaki pada Jumaat. 

Pelumba berusia 28 tahun itu menewaskan Tomoyuki Kawabata dari Jepun di final yang diadakan di Velodrom Indira Gandhi.

Kejayaan itu menebus kekecewaan Mohd Azizulhasni yang sekadar menduduki tempat kesembilan dalam acara keirin elit lelaki pada Selasa lepas.

Malaysia memenangi pingat gangsa acara itu menerusi pelumba berusia 22 tahun, Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

Skuad negara turut memenangi pingat gangsa dalam acara omnium remaja menerusi Muhammad Nur Aiman Rosli, 18, semalam.

Pungutan satu emas dan dua gangsa itu membolehkan Malaysia menduduki tempat ketujuh dalam carta pungutan pingat kejohanan yang dilangsungkan dari 6-10 Februari.

Korea Selatan mengungguli kejohanan dengan sembilan emas diikuti China (lapan) dan Jepun (tujuh). Bahrain akan menganjurkan acara lebuh raya ACC dari 24 Februari hingga 3 Mac dengan Malaysia dijangka menghantar 13 peserta.

Kejohanan ACC menjadi pentas terbaik skuad berbasikal negara menguji kemampuan sebelum Sukan SEA di Kuala Lumpur, Ogos nanti. 

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain