ATLETICO Madrid menjaringkan dua gol pada saat akhir untuk menundukkan Celta Vigo 3-2 pada saingan La Liga di Stadium Vicente Calderon, awal pagi Isnin. Pasukan lawan pada awalnya dilihat berupaya mengutip tiga mata penuh selepas John Guidetti menjaringkan gol kedua pada minit ke-78. Namun jaringan lewat permainan Tannick Carrasco dan Antione Griezmann menyaksikan tiga mata milik pasukan tuan rumah. Kesilapan Miguel Angel Moya memberi kelebihan kepada Gustavo Cabral untuk meletakkan Celta Vigo di depan seawal minit kelima sebelum Fernando Torres menyamakan kedudukan pada minit ke-11. Rembatan kencang Guidetti ibarat memberi tamparan hebat kepada Atletico sebelum pasukan tuan rumah itu bangkit dalam aksi penuh dramatik pada minit kecederaan. Jika tewas, Atletico terlepas untuk terus berada dalam kelompok empat teratas dengan Real Sociedad merampas kedudukan tersebut daripada mereka. Namun menerusi kemenangan itu, Atletico kekal di tangga keempat dengan 42 mata, ketinggalan tujuh mata di belakang Real Madrid.