KUALA LUMPUR: Juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) mengetuai kemaraan 14 pasukan ke pusingan ketiga Piala FA selepas berakhirnya perlawanan pusingan kedua, malam Selasa. JDT menewaskan Felda United 2-0 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, hasil jaringan Gabriel Miguel Guerra pada minit ke-12 dan Gonzalo Cabrera pada minit ke-79. Juara tiga kali, Kedah turut mara ke pusingan ketiga selepas menang 4-2 ke atas Kuala Lumpur pada aksi di Stadium Darul Aman, Alor Setar. Empat gol skuad Lang Merah menerusi Liridon Krasniqi pada minit ke-32, gol sendiri pemain Kuala Lumpur, Zaiful Abdul Hakim (minit ke-35), Muhammad Farhan Roslan pada minit ke-41 dan ke-62, manakala dua gol Kuala Lumpur dijaringkan Guilherme de Paula pada minit ke-76 dan Ibrahim Syaihul pada minit ke-90. Di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, juara dua kali Pahang bangkit pada masa tambahan 30 minit untuk menewaskan Johor Darul Ta'zim II 4-2. Pemain import dari Brazil, Matheus Alves dan Salamon Raj menjaringkan dua gol untuk skuad Tok Gajah, masing-masing pada minit ke-104 dan ke-109. Terdahulu, kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada aksi penuh 90 minit dengan Muhammad Hadi Fayyadh meledak dua gol pada minit ke-34 dan ke-38 untuk skuad Harimau Selatan, sebelum Pahang bangkit menyamakan kedudukan menerusi dua gol pemain import dari Gambia, Mohamadou Sumareh pada minit ke-46 dan ke-67. Di Stadium Negeri Petra Jaya, Sarawak berpesta gol selepas menang selesa 6-3 ke atas pasukan tercorot Liga Perdana, MISC-MIFA. Pemain import dari Filipina, Mark Andrew Hartmann muncul wira skuad Bujang Senang apabila melakar hatrik pada minit ke-11, ke-59 dan ke-80, selain dua gol daripada Mateo Roskam (minit ke-23 dan ke-37) serta Ronny Harun pada minit ke-33. Tiga gol pasukan MISC-MIFA dijaringkan Michael Chuwubunna Ijezie pada minit ke-69 dan ke-77 serta Ooi Shee Keong pada minit ke-56. Melaka United pula menang tipis 1-0 ke atas PKNS FC di Stadium Hang Jebat, Melaka, hasil jaringan Mohd Amri Yahyah pada minit ke-65. Dalam pada itu, juara lima kali Selangor dan juara dua kali Kelantan, tersingkir daripada saingan Piala FA selepas tewas 3-4 menerusi penentuan sepakan penalti kepada lawan masing-masing. Pada aksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selangor seri tanpa jaringan berdepan Negeri Sembilan, manakala Kelantan seri 1-1 menentang wakil Perak, PKNP FC di Stadium Perak, Ipoh pada aksi penuh 90 minit. Dua lagi aksi pusingan kedua Piala FA akan berlangsung esok melibatkan pertemuan dua pasukan Piala Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), KDMM FC dan MOF FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, dan perlawanan antara Perak dan Persatuan Bola Sepak Melayu Selangor di Stadium Perak, Ipoh. Undian pusingan ketiga Piala FA dijadual berlangsung dalam program 'Nasi Lemak Kopi O' di TV9, Ahad ini (19 Feb).