suria

Sukarelawan Sukan Sea, Para Asean KL Perlu Serba Boleh

Khairy sempat bergambar bersama sebahagian peserta program Latihan Sukarelawan sempena Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 di Universiti Kebangsaan Malaysia pada Rabu. Foto Bernama

BANGI: Sukarelawan Sukan SEA Kuala Lumpur perlu mempunyai kelebihan serba boleh dalam pelbagai perkara selain mahir dalam tugasan masing-masing, berketerampilan dan mempunyai pengetahuan luas mengenai negara Asean.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata selain atlet, sukarelawan yang terpilih nanti merupakan aset penting negara dan merupakan duta Malaysia.

Beliau menegaskan kumpulan sukarelawan yang dikenali sebagai 'Wow Factor' itu akan menggambarkan Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan Sukan Para Asean Kuala Lumpur 2017. 

Sukan SEA Kuala Lumpur akan berlangsung pada 19-31 Ogos manakala Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur pada 17-23 September.  

"Kita perlu ingat 'Wow Factor' ini adalah duta Malaysia dan duta kepada Kuala Lumpur 2017. mereka akan berada di barisan hadapan, jadi tindak-tanduk mereka itu akan memberi satu gambaran Malaysia sebagai tuan rumah.

"Mereka perlu bersedia bukan sahaja dari segi keterampilan, imej dan ilmu tetapi mereka juga perlu boleh berikhtiar dalam menyelesaikan sesuatu perkara," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan latihan umum Sukarelawan Kuala Lumpur 2017 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi di sini.

Khairy berkata, beliau tidak mahu sukarelawan hanya menjaga tugas hakiki sahaja kerana dalam keadaan penganjuran Sukan SEA, semua pihak yang terlibat akan berdepan masalah di luar jangkaan.

"Kita akan berdepan dengan bermacam-macam masalah dan kalau mereka hanya fokus pada kerja hakiki sahaja ia tidak dapat menyelesaikan masalah dengan cepat dan kita perlu bertindak pantas," katanya.

Setakat ini, sukarelawan yang mengisi borang adalah sebanyak 27,160 daripada 54,000 yang mendaftar.

Kementerian akan memilih 13,000 sukarelawan dan mereka akan menerima insurans berkelompok, pakian rasmi, serta diberikan makan dan minum sebanyak tiga kali sehari serta sijil pengiktirafan. - Bernama

Sukan SEA, Para Asean

Artikel Berikut

Artikel Lain