PETALING JAYA: Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Norza Zakaria mengambil pendekatan mengunci mulut tentang surat perjanjian gentlemen yang diserahkan kepada semua anggota majlis badan induk itu. "Saya tak nak komen mengenainya," kata Norza ketika ditemui pemberita di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara dekat sini pagi Jumaat. Sebaliknya, Norza hanya mengesahkan beliau sudah pun menerima surat tersebut. "Saya cuma boleh cakap surat tersebut saya dah terima. Itu sahaja," katanya. Pada Khamis, timbul laporan yang mendakwa surat peringatan diberikan kepada Norza dan Pemangku Presiden BAM, Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid mengenai satu perjanjian awal yang telah dibuat ketika kedua-dua mereka dilapor mahu merebut jawatan tertinggi persatuan itu. Menurut sumber, semua anggota Majlis BAM menerima surat mengingatkan mereka tentang gentlemen's agreement antara pemimpin kanan BAM mengenai siapa yang bakal menggantikan Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff yang berehat daripada memegang jawatan itu sejak Oktober 2015 ekoran masalah kesihatan. Tengku Mahaleel sebelum ini sudah menyatakan pendiriannya untuk tidak mempertahankan jawatan itu bagi pemilihan baharu BAM pada April ini. Sebelum ini, tempat Tengku Mahaleel dipangku Al Amin yang merupakan Timbalan Presiden, jawatan sama yang diduduki Mohamad Norza. Menurut sumber itu lagi, perjanjian tersebut dipersetujui antara Tengku Mahaleel, Al Amin dan Mohamad Norza serta 'orang atas' di Kementerian Belia dan Sukan, yanbg menyaksikan perubahan akan dibuat selepas tamat Sukan Olimpik 2016 atau berakhirnya penggal jawatankuasa sedia ada pada tahun ini. Sumber itu menambah, mengikut perjanjian itu, Al Amin diberi tugas memangku jawatan presiden dan peralihan kuasa diberikan kepada Mohamad Norza pada pemilihan jawatankuasa baru tahun ini.