BARISAN pemain tempatan Kedah berjaya membuktikan kemampuan mereka dengan menewaskan Kelantan 1-0 tanpa khidmat pemain import dalam saingan Liga Super di Kota Baru pada Sabtu malam. Pengendali skuad hijau kuning, Tan Cheng Hoe berkata, kemenangan 1-0 itu amat bermakna bagi dirinya kerana pemain simpanan telah beraksi mengikut disiplin yang diterapkan. Menurutnya, Kedah terpaksa melupakan khidmat tiga pemain utama termasuk dua import selepas Liridon Krasniqi, Sandro Da Silva dan Syazwan Zainon mengalami kecederaan dalam perlawanan sebelum ini. "Saya tidak pernah meragui kemampuan barisan pemain yang mengambil alih tempat tonggak utama kerana mereka sudah bersama pasukan ini sejak tiga tahun lalu dan berpangalaman bagi saingan Liga Super. "Kemenangan ini telah membuktikan lagi kemampuan mereka kepada semua pihak dan turut buktikan bahawa kita mampu bersaing jika tonggak utama cedera. "Syawal Nordin, Farhan Roslan, Amirul Hisyam Awang Kecik dan Fitri Omar beraksi dengan baik bagi mengimbangi permainan. Penyerang muda kita Syafiq Ahmad yang pertama kali beraksi pada musim ini telah membawa kepada sepakan penalti yang memberikan gol tunggal kepada kita. "Saya berterima kasih kepada mereka dan semua pemain. Pegawai, barisan kejurulatihan dan penyokong juga perlu menerima terima kasih kerana kemenangan ini," katanya kepada mStar Online. Beliau memberitahu, Baddrol Bakhtiar yang diberikan tanggungjawab sebagai ketua pasukan telah melaksanakan tugasnya dengan baik selain menjadi penjaring. Cheng Hoe berkata, menentang Kelantan di gelanggan mereka bukan tugas yang mudah untuk pemain Kedah, namun cabaran itu berjaya dilepasi. "Inilah sikap pemain Kedah, mereka sentiasa berusaha untuk mendapatkan yang terbaik walaupun berdepan cabaran besar. Mereka dapat menjaga mental dengan baik untuk menamatkan permainan dengan kemenangan. "Saya harap mereka dapat meneruskan momentum kemenangan ini dalam perlawanan seterusnya iaitu menentang Pulau Pinang," jelasnya.