MELAKA: Datuk Mohd Yusoff Mahadi menawarkan diri menjadi 'orang kanan' Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam memajukan skuad negara, jika mereka dipilih dalam pemilihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), bulan depan. Malah Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) itu mengakui beliau mempunyai keserasian dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT). "Sejak kebelakangan ini, saya kerap bertemu TMJ bagi membincangkan hala tuju bola sepak negara sekiranya kami dipilih untuk memimpin FAM. "Saya sudah dapat baca hala tuju yang bakal dilakukan TMJ dan percaya Tunku Ismail mampu membuat transformasi terhadap FAM yang bakal mengubah landskap bola sepak negara ke peringkat yang lebih tinggi," katanya kepada Bernama. Selain TMJ yang akan bersaing dengan Tan Sri Annuar Musa untuk jawatan presiden, Mohd Yusoff juga terlibat dalam saingan tiga penjuru bersama Datuk Seri Afandi Hamzah dan Datuk Seri Subahan Kamal bagi kerusi Timbalan Presiden FAM. Mohd Yusoff mendapat perhatian bola sepak negara selepas membawa pasukan Melaka United menjuarai Liga FAM pada 2015 dan kemudian merangkul gelaran Liga Perdana 2016. Kejayaan yang dicapai Melaka United itu sekali gus menamatkan kemarau trofi selama 33 tahun pasukan negeri berkenaan. Beliau juga percaya TMJ mampu memperbaiki semula hubungan 'kurang mesra' antara FAM dan anggota gabungannya. "Banyak perkara yang tidak dapat dilaksanakan sekiranya tiada persefahaman antara barisan kepimpinan tertinggi FAM dengan persatuan negeri yang bernaung di bawahnya. "Kebanyakan persatuan negeri sering dikongkong dengan masalah kewangan sehingga menyekat program pembangunan pasukan masing-masing," katanya. Mohd Yusoff yakin TMJ mempunyai perancangan tersendiri membantu pasukan negeri melahirkan pemain yang berkaliber pada masa akan datang kerana itulah yang menjadi keutamaannya sejak mula mengambil alih JDT pada 2013.