REAL Madrid gagal meraih mata penuh di kandang Valencia, dalam perlawanan awal pagi Khamis. Walaupun menurunkan kekuatan penuh, skuad bimbingan Zinedine Zidane terpaksa akur dengan kekalahan 1-2 di Stadium Mestalla dalam perlawanan La Liga yang sebelum ini ditunda. Dalam perlawanan tersebut, Madrid menerima tamparan hebat dengan dua gol 'segera' Valencia. Gol pertama Valencia diperolehi menerusi Simone Zaza seawal minit kelima, apabila dia memanfaatkan umpan Munir El Haddadi. Fabian Orellana menggandakan keunggulan Valencia pada minit kesembilan hasil assist Nani. Madrid hanya mampu memecahkan kebuntuan gol menerusi tandukan Cristiano Ronaldo pada minit ke-44. Ronaldo harus menerima hakikat bahawa pasukannya telah kalah buat kali kedua dalam perlawanan La Liga musim ini, seterusnya terpaksa menelan kekalahan dalam perlawanannya yang ke-700 sepanjang bersama Madrid. Keputusan ini tidak mengubah kedudukan Madrid di takhta La Liga dengan 52 mata, tetapi hanya berbeza satu mata dengan musuh ketat mereka, Barcelona di posisi kedua. Bagaimanapun, gol tersebut telah mencatatkan nama Ronaldo sebagai pemain yang paling banyak mencipta gol dengan tandukan dalam lima liga elit Eropah dengan jumlah 51 gol.