ALOR SETAR: Walaupun Kedah tidak dapat menurunkan beberapa tonggak utama ketika bertemu Melaka United di sini malam Sabtu namun keserasian antara pemain muda dan import menjadi antara rencah kejayaan membenam pasukan lawan. Ketua jurulatih Kedah Tan Cheng Hoe berkata keserasian trio import iaitu Liridon Krasniqi, Ken Ilso Larsen dan Sandro Da Silva banyak membantu pasukan mencatat kemenangan bergaya 4-0. "Saya ucapkan syabas kepada pemain-pemain import saya terutama Sandro dan Ken Ilso Larsen yang menunjukan tahap kecergasan tinggi dan tahniah juga kepada pemain muda yang mencipta hantaran menarik dan kemas hingga kita dapat peluang menjaringkan gol. "Walaupun kita tidak dapat menurunkan Baddrol Bakhtiar, Muhammad Farhan Roslan dan Ahmad Fakri Saarani, namun pemain yang lain dapat menguasai permainan dan bekerjasama dengan baik," katanya kepada pemberita selepas tamat permainan itu malam Sabtu. Beliau mengharapkan corak permainan yang ditunjukkan ini dapat diteruskan sehingga akhir musim seterusnya menjuarai kejuaraan musim ini. Dalam pada itu, Cheng Hoe kini sedang mempersiapkan anak buahnya untuk perlawanan pusingan ketiga Piala FA yang bermula 10 dan 11 Mac ini. Katanya, Kedah akan mencabar Perak di Stadium Ipoh yang juga satu-satunya pasukan kuat dan pencabar bagi mana-mana pasukan musim ini. "Kita tidak boleh ambil mudah kerana saya jangkakan beberapa pemain tonggak kita masih belum dapat diturunkan akibat kecederaan, namun kita akan berusaha untuk mencari kemenangan," katanya seperti dilaporkan Bernama. Ketika ditanya tentang kedudukan Kedah yang kini kembali berada di atas takhta liga, Cheng Hoe berkata setiap pemain perlu konsisten dan mempunyai tahap motivasi yang tinggi jika mahu kekal berada di atas. Dalam perlawanan malam tadi, Ken Ilso Larsen menjaringkan gol pembukaan dan terakhir perlawanan pada minit ke-33 dan 90, manakala dua lagi gol dijaringkan oleh Sandro Da Silva pada minit ke-48 dan 78. Sementara itu, Ketua Jurulatih Melaka United, Erics Williams menerima kekalahan itu dengan hati terbuka kerana Kedah layak menang hasil permainan yang mantap dan baik dari semua sudut. Sambil menyifatkan pemainnya tidak berada pada tahap kecergasan yang tinggi ekoran jadual perlawanan yang padat, Eric mahu anak buahnya kembali bangkit untuk mencipta kemenangan dan memperbaiki kedudukan liga dalam musim yang masih panjang.