suria

Piala AFC: Felda Gagal Manfaat Kelebihan Di Laman Sendiri

SHAH ALAM: Pasukan Felda United gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila seri 1-1 menentang wakil Vietnam, Hanoi FC pada aksi kedua Kumpulan G Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Shah Alam, Selasa.

Keputusan itu tidak mengubah kedudukan skuad 'The Fighters' yang masih menghuni tangga terbawah kumpulan berkenaan dengan kutipan satu mata selepas mengharungi dua perlawanan setakat ini.

Beraksi di atas padang becak ekoran hujan lebat pada awal perlawanan,ternyata menjejaskan rentak permainan kedua-dua pasukan dalam usaha memburu gol awal.

Nasib, bagaimanapun terlebih dahulu menyebelahi Felda United yang membuka tirai jaringan menerusi pemain import dari Liberia, Zah Rahan Krangar pada minit ke-23.

Namun, kelekaan barisan pertahanan Felda United dihukum apabila pemain tengah, Do Hung Dung menyamakan kedudukan untuk pasukan pelawat pada masa kecederaan babak kedua perlawanan, dan keputusan 1-1 itu kekal sehingga ke wisel penamat.

Bercakap pada sidang media selepas perlawanan, ketua jurulatih Felda United B. Satianathan berkata beliau berpuas hati dengan keputusan itu kerana pasukan pelawat rata-rata dibarisi bekas dan pemain kebangsaan Vietnam, sambil memuji anak buahnya yang mempamerkan prestasi membanggakan pada perlawanan itu. 

Beliau, bagaimanapun berkata tumpuannya selepas ini adalah untukmeningkatkan tahap kecergasan fizikal skuad 'The Fighters', yang disifatkannya masih rendah.

"Ketika saya mengambil alih pasukan kira-kira sebulan lepas, saya dapati kelemahan utama adalah kecergasan fizikal dalam kalangan pemain dan kita mempunyai tempoh seminggu untuk mengatasi masalah ini untuk perlawanan akan datang menentang Ceres Negros FC (dari Filipina) pada 15 Mac," kata Satianathan.

Ketua jurulatih Hanoi FC Chu Dinh Nghiem, dalam pada itu, berkata beliau tidak berpuas hati dengan keputusan perlawanan itu berikutan keadaan padang yang becak akibat hujan lebat pada awal permainan.

Beliau, bagaimanapun yakin anak buahnya akan bangkit mencatat kemenangan berdepan kelab Singapura, Tampines Rovers di gelanggang sendiri pada 15 Mac ini.

Dalam pada itu, satu lagi wakil negara Johor Darul Ta'zim (JDT) turut mencatat keputusan seri 1-1 menentang wakil Myanmar, Magwe FC, pada aksi kedua Kumpulan F di Stadium Thuwunna, Yangon.

Skuad Harimau Selatan yang sebelum ini menang selesa 3-0 ke atas wakil Kemboja, Beoungket Angkor FC pada aksi sulung di laman sendiri, 21 Februari lepas,berada di hadapan menerusi gol R. Gopinathan pada minit ke-27.

Penyerang import dari Guinea, Sylla Sekou menyelamatkan maruah pasukan tuanrumah menerusi gol penyamaan pada minit ke-89.

Terdahulu, JDT terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Hasbullah Bakar dilayangkan kad merah oleh pengadil kerana mengasari pemain tuan rumah pada minit ke-12.

Artikel Sebelum

Artikel Lain