suria

Penyokong PSG Ganggu Pemain, Rosakkan Kereta Selepas Tewas

PARIS Saint-Germain (PSG) mengesahkan berlaku insiden kekecohan di Lapangan Terbang Le Bourget, awal pagi Khamis sekembalinya pasukan itu ke Paris selepas disingkirkan Barcelona pada aksi Liga Juara-Juara.

Anak buah Unai Emery tewas 1-6 di Nou Camp ketika Barcelona meneruskan kemaraan dengan agregat kemenangan 6-5 yang mencetuskan kemarahan ketika pasukan tersebut tiba di Paris kira-kira 5 pagi waktu tempatan.

Sekumpulan peminat yang kecewa dengan kekalahan itu menunggu kelibat pemain turun di balai ketibaan dan mengganggu mereka ketika cuba meninggalkan lapangan terbang tersebut.

"Sekumpulan individu itu menghina pemain sebelum merosakkan kereta mereka. Beberapa kenderaan turut rosak.

"Dalam keadaan agresif itu, semua kenderaan telah diiringi untuk memastikan laluan yang selamat bagi pemain dan keluarga mereka serta kakitangan kelab.

"Salah seorang individu telah dilanggar oleh sebuah kereta yang cuba melarikan diri daripada kekecohan yang dicetuskan itu," demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan PSG.

Pada masa sama, PSG mengesahkan polis telah menjalankan siasatan bagi mengetahui punca sebenar insiden itu.

Malah, PSG turut menyatakan kesediaan untuk membantu siasatan polis.

Pemain tengah veteran PSG, Thiago Motto yang tidak beraksi pada perlawanan itu dirakam melanggar salah seorang penyokong dengan keretanya.

Ejen Motto, Alessandro Canovi mengesahkan kepada Le Parisien bahawa kliennya itu didatangi penyokong ketika dia cuba melarikan diri daripada insiden tersebut.

"Thiago disuruh berhenti. Isterinya berada di sini dan penyokong memukul bumbung dan sisi keretanya.

"Dia mahu beredar dari kawasan itu dengan segera. Dia tidak fikir telah melanggar penyokong. Jika dia ada berbuat demikian, kami minta maaf tetapi insiden itu tidak dapat dibuktikan," kata Canovi.






PSG, Liga Juara-Juara, Barcelona

Artikel Lain