PETALING JAYA: Impian peminat badminton tanah air untuk menyaksikan Datuk Lee Chong Wei dan seteru utama dari China Lin Dan berentap di final All England hampir menjadi kenyataan selepas masing-masing melangkah ke saingan separuh akhir pagi Sabtu.
Jaguh badminton negara, Chong Wei menundukkan Tian Houwei dari China pada aksi suku akhir 21-12, 21-15.
Beliau akan bertemu Chou Tien Chen dari Taiwan pada aksi separuh akhir, awal pagi Ahad.
Sementara itu, Lin Dan yang juga juara bertahan menundukkan pilihan ketiga dari Denmark, Viktor Axelsen, 8-21, 21-14, 21-15.
Juara lima kali kejohanan itu dijadual bertemu Shi Yuqi di separuh akhir selepas rakan negaranya itu menewaskan pemain Jepun, Kazumasa Sakai, 21-13, 21-4.
Jika Chong Wei dan Lin Dan melepasi aksi separuh akhir, kedua-dua pemain itu akan bertemu sesama sendiri buat kali ke-36 sepanjang karier mereka.
Sepanjang pertemuan mereka, Lin Dan memenangi 24 perlawanan.
Selain Chong Wei, turut mara ke separuh akhir ialah pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.
Pilihan keenam itu menewaskan pasangan China, Wang Yilyu-Huang Dongping 23-21, 21-14.
Mereka akan bertemu pasangan dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino.
Bagaimanapun, kejayaan Chong Wei dan Peng Soon-Liu Ying itu gagal diiringi beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang juga pasangan nombor satu dunia.
Mereka terkandas di suku akhir kepada pasangan China, Li Junhui-Liu Yuchen, 21-19, 17-21, 21-19.