BAYERN Munich melebarkan penguasaan mereka selaku peneraju Bundesliga kepada 10 mata selepas menang bergaya 3-0 ke atas Eintracht Frankfurt. Robert Lewandowski membuka jaringan untuk pasukan tuan rumah seawal minit ke-30 sebelum Douglas Costa menggandakan jaringan dua minit kemudian. Lewandowski menjaringkan gol ketiga Bayern yang juga jaringan ke-21 liga musim ini pada minit ke-55. Malah, pemain kebangsaan Poland itu berjaya merekodkan gol ke-100 untuk Bayern dalam 136 perlawanan. Kemenangan itu meletakkan skuad bimbingan Carlo Ancelotti itu berada di landasan tepat untuk memastikan kejuaraan kelima berturut-turut Bundesliga kekal dalam genggaman mereka. Kali terakhir Bayern tewas adalah ketika tunduk 3-2 kepada Rostov di Liga Juara-Juara, November lalu. Dalam perlawanan berasingan, pasukan di tangga kedua, RB Leipzig pula terpaksa akur apabila ditewaskan 1-0 oleh Wolfsburg hasil jaringan tunggal Mario Gomez. Sementara itu, pasukan tempat ketiga, Dortmund yang mara ke suku akhir Liga Juara-Juara, tewas mengejut 1-2 di tangan Hertha Berlin.