PETALING JAYA: Ketua jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee sedia mempraktikkan segala ilmu yang ditimba di London ke atas skuad bimbingannya. Menurut Kim Swee yang kembali dari menjalani program kejurulatihan bersama kelab Inggeris, Queen Park Rangers (QPR) minggu lalu, banyak perkara yang dipelajarinya sepanjang sebulan berada di sana. "Banyak perkara yang baik dapat dikongsikan bersama skuad kebangsaan. "Saya percaya ia sedikit sebanyak dapat membantu dalam pasukan. Apa yang penting adalah keyakinan dan sikap pemain itu sendiri," jelasnya kepada media pada sesi latihan pusat skuad kebangsaan di Wisma FAM, Selasa. Skuad kebangsaan kini menjalani kem latihan menjelang perlawanan persahabatan 'A' menentang Filipina di Manila pada 22 Mac ini. "Biarpun sekadar perlawanan persahabatan, bagi saya ianya sangat penting bagi kedudukan ranking pasukan negara. "Selepas empat bulan tanpa sebarang perlawanan, ranking kita masih berada di kedudukan yang sama (161). Jadi inilah masa kita cuba mendapatkan keputusan yang baik. "Mengenai senarai pemain kali ini, saya membuat keputusan untuk tidak mencari pengganti Nazirul Naim (cedera). "Kita sudah ada pemain yang boleh menggantikan tempatnya di bahagian kiri," ujarnya. Dalam pada itu, Kim Swee turut mengakui penangguhan menentang Korea Utara adalah sesuatu yang baik bagi semua pihak. "Keputusan itu berkaitan dengan keselamatan pegawai dan semua pemain. Jadi saya percaya bola sepak tidak ada kaitan dengan isu tersebut". Skuad Harimau Malaysia dalam persiapan menjelang aksi sulung Kumpulan B, Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Korea Utara pada 28 Mac ini. Bagaimanapun aksi tersebut ditunda berikutan konflik diplomatik Malaysia dan Korea Utara.