LEICESTER City sekali lagi mengukir sejarah pasukan apabila menundukkan Sevilla 2-0 untuk melangkah ke pusingan suku akhir Liga Juara-Juara di Stadium King Power, awal pagi Rabu. Gol jaringan Wes Morgan dan Marc Albrighton menyaksikan anak buah Craig Shakespeare itu mengatasi defisit gol pada aksi 16 terakhir pertama dengan agregat kemenangan 3-2. Rentak permainan Sevilla terjejas selepas Samir Nasri yang dipinjamkan dari Manchester City dilayangkan kad merah. Malah lebih buruk lagi, Pengurus Sevilla, Jorge Sampaoli turut diarahkan duduk di bangku penonton dalam aksi penuh mendebarkan itu. Leicester kini menyertai Barcelona, Real Madrid dan Bayern Munich pada undian untuk pusingan seterusnya, Jumaat ini. Kejayaan itu merupakan pencapaian cemerlang Shakespeare yang dilantik sebagai pengurus Leicester sehingga penghujung musim ini. Shakespeare turut membantu Leicester keluar daripada zon penyingkiran dengan dua kemenangan ketika bertemu Liverpool dan Hull City pada aksi Liga Perdana Inggeris.