suria

Waspada 'Ancaman' Singapura - Beng Hee

Ong Beng Hee.

KUALA LUMPUR: Jurulatih skuasy negara, Ong Beng Hee mengingatkan anak buahnya supaya waspada dengan ancaman Singapura dalam usaha menggenggam tujuh pingat emas pada temasya Sukan SEA 2017, Ogos ini.

Beliau berkata, Singapura merupakan pencabar utama Malaysia memandangkan negara Kota Singa itu kini mendapat khidmat bekas pengarah kejurulatihan Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM), Allan Soyza sejak Januari lalu.

"Sasaran tujuh pingat emas dapat kita capai selepas mengambil kira prestasi pemain ketika ini.

Namun, sudah tentu kita kena sentiasa berhati-hati dengan pasukan Singapura kerana mereka pastinya tidak akan memberi laluan mudah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media persediaan pasukan skuasy menjelang temasya Sukan SEA 2017, Ogos ini di Majlis Sukan Negara (MSN), Rabu.

Menurut Beng Hee, memandangkan acara beregu kali pertama akan dipertandingkan pada Sukan SEA kali ini, Malaysia apatah lagi dua negara jiran, Singapura serta Indonesia pasti sedaya upaya mahu memenangi pingat emas dalam acara itu.

"Saya yakin pemain akan berikan yang terbaik khususnya dalam acara beregu yang pertama kali dipertandingkan. Singapura dan Indonesia sudah tentu mempunyai cita-cita yang sama," katanya.

Ditanya mengenai prestasi Andrea Lee Jia Qi, Beng Hee berkata pemain muda itu menunjukkan peningkatan ketara selepas S. Sivasangari.

"Saya fikir prestasinya semakin meningkat selepas Sivasangari. Kedua-dua merupakan pemain sandaran pingat emas untuk Sukan SEA," katanya.

Pada masa sama, Beng Hee berkata kemunculan Andrea dan Sivasangari hadir tepat pada masanya ketika negara memerlukan lebih ramai pemain sandaran.

"Kita tidak boleh hanya bergantung kepada Nicol, kita perlu pelan sokongan. Sudah tiba masanya untuk memperkuat pasukan. Seorang sahaja tidak cukup. Saya harap mereka boleh lakukannya," kata bekas pemain kebangsaan itu.


Ong Beng Hee, skuasy, Sukan SEA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain