KUALA LUMPUR: Cabaran negara pada Kejohanan Badminton Grand Prix Terbuka Switzerland berakhir apabila beregu wanita, Vivian Hoo Kah Mun/Woon Khe Wei kalah mengejut di peringkat suku akhir, lewat Jumaat (awal Sabtu waktu Malaysia). Gandingan pilihan ketiga itu kalah 18-21, 21-8, 15-21 kepada wakil Denmark, Maiken Fruergaard/Sara Thygesen, yang juga pilihan ketujuh, pada aksi yang berlangsung di Arena Jakobshalle, Basel. Gandingan Vivian Hoo dan Khe Wei merupakan satu-satunya wakil Malaysia mara ke peringkat suku akhir selepas semua pemain perseorangan dan beregu lelaki serta perseorangan wanita negara kandas di pusingan awal.-- Bernama