PETALING JAYA: Teka-teki berhubung status Ashley Westwood akhirnya berakhir apabila Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) mengambil pendirian menamatkan kontrak ketua jurulatih pasukan itu. Kontrak Westwood yang sepatutnya berakhir pada 2018 bagaimanapun ditamatkan berkuatkuasa serta merta. Presiden FAP, Zairil Khir Johari berkata, kekosongan yang ditinggalkan Westwood akan dipangku pembantu ketua jurulatih, Darren Read. "Saya bagi pihak FAP merakamkan penghargaan atas khidmat dan usaha Westwood selama berada dengan pasukan Pulau Pinang. "Sehubungan dengan itu juga, pihak FAP akan mengumumkan pelantikan ketua kurulatih yang baharu dalam masa terdekat," katanya menerusi kenyataan pada Ahad. Westwood yang juga bekas pemain Manchester United sebelum ini dikritik banyak pihak selepas pasukan bimbingannya gagal untuk keluar dari tangga tercorot Liga Super 2017 selepas lapan perlawanan liga. Tercicir dari saingan Piala FA 2017 selepas tewas 4-1 kepada Negeri Sembilan pada pusingan ketiga minggu lalu, peluang Harimau Kumbang dalam saingan Piala Malaysia 2017 juga semakin kabur. Pusingan pertama Liga Super hanya berbaki tiga perlawanan sahaja lagi.