PENGURUS Manchester City Pep Guardiola berkata keputusan seri 1-1 yang dicatat pasukannya ketika menentang Liverpool adalah salah satu hari paling menggembirakan dalam kariernya sebagai jurulatih. Guardiola yang berjaya membawa Barcelona meraih gelaran juara Liga Juara-Juara sebanyak dua kali mengaku berpuas hati dengan persembahan skuad bimbingannya setelah kalah 1-3 di kandang AS Monaco Rabu lalu. Kekalahan tersebut membuatkan mereka tersingkir di kelompok 16 terbaik Liga Juara-Juara. Guardiola berkata Liverpool mempunyai lebih banyak masa untuk membuat persediaan bagi perlawanan ini kerana tidak tampil dalam saingan di Eropah. Dalam masa yang sama dia juga mengkritik pasukannya kerana gagal memanfaatkan peluang penting. Dengan keputusan yang dicatat di Stadium Etihad ini, Man City berada di posisi ketiga dengan koleksi 57 mata, unggul satu mata di atas Liverpool yang berada di tempat keempat. "Anda tak dapat membayangkannya. Hari ini termasuk dalam hari-hari paling menggembirakan dalam karier saya sebagai jurulatih. Saya sangat bangga," kata Guardiola kepada Sky Sports. "Selepas Liga Juara-Juara, dalam beberapa hari latihan terakhir, kami sangat sedih. Kami tidak banyak bercakap. Kami turun dalam perlawanan ini menentang Liverpool yang sama sekali tidak bermain dalam saingan Eropah dan mempunyai masa seminggu untuk mempersiapkan diri melawan kami," katanya. Guardiola juga membantah laporan bahawa dia akan membuat rombakan besar-besaran terhadap pasukannya pada akhir musim. "Saya lebih mengetahui (pemain) dan mereka sangat mengenali diri saya tetapi kami harus melakukan beberapa perubahan musim depan. "Kami banyak mencipta peluang tetapi tak cukup banyak menjaringkan gol. Namun, tak seperti yang diperkatakan ramai, saya sangat selesa dengan pemain yang ada pada saat ini, tak ada yang berubah," kata Guardiola.