PETALING JAYA: Presiden baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim terus menegaskan bahawa bola sepak adalah milik rakyat. Dalam ucapannya selepas secara rasmi dilantik sebagai presiden, Tunku Ismail memberitahu apa yang lebih penting adalah tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan kepada semua yang terpilih memimpin FAM. "Jangan lupa tuan-tuan dan puan-puan, bola sepak adalah hak milik rakyat dan kami yang berkhidmat dalam mana-mana organisasi bola sepak, berkhidmat kepada rakyat di dalam negara ini. "Jadi saya menyeru dan juga memberi nasihat yang ikhlas kepada semua yang berada di dalam bilik ini untuk sentiasa menjaga sikap integriti, profesionalisme dan juga dedikasi dari segi menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing. "Saya akan sentiasa memantau dan juga sedia memberi nasihat kepada mana-mana ahli gabungan yang memerlukan saya membantu mereka dan berkongsi pandangan di mana saya akan sentiasa berada di situ. "Tapi apa yang lebih penting sekarang ini, kita harus bersikap realistik iaitu yang pertama adalah dedikasi dan kita punya keazaman untuk mencapai sasaran-sasaran kita. "Cara saya bekerja, awak semua perlu mengikut saya punya momentum sekarang ini. Yang mana berada di meja atas ini (barisan ahli jawatankuasa eksekutif yang baharu), harus sentiasa bersedia pada bila-bila masa saja dengan tanggungjawab yang telah diberikan," jelasnya. Tunku Ismail turut berkongsi beberapa perkara atau langkah awal yang bakal dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini. "Saya perlu memeriksa dan kaji terlebih dahulu akaun kewangan FAM yang ada sekarang. Kedua, falsafah permainan serta kaedah latihan dan teknologi dalam meningkatkan lagi prestasi jangka pendek dan panjang. "Ketiga, saya akan mempertingkatkan kualiti pengadil dalam negara dan keempat bakal mengurangkan kakitangan dalam FAM kerana saya hanya perlukan mereka yang boleh memberi sumbangan sahaja," katanya ketika sidang media pertama selepas dilantik secara dilantik sebagai presiden pada Kongres FAM Sabtu lalu. Dalam pada itu, Kongres FAM Ke-53 menyaksikan majoritinya muka-muka baharu yang menduduki empat jawatan lain dalam barisan kepimpinan penggal 2017/2021 itu. Antaranya, jawatan Timbalan Presiden yang dimenangi Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk Seri Subahan Kamal yang menyaksikan Datuk Seri Afandi Hamzah gagal mempertahankan jawatan tersebut. Tunku Ismail diapit dua timbalannya, Subahan (kiri) dan Mohd Yusoff. Menurut Subahan, beliau teruja dan bersedia untuk memikul tanggunjawab bersama ahli-ahli jawatankuasa yang lain bagi merealisasikan misi dan visi presiden FAM. Bagi jawatan naib presiden, empat nama yang berjaya meraih undian tertinggi adalah Mohd Joehari Mohd Ayob, Datuk Ab Ghani Hassan, Datuk S.Sivasundaram dan Datuk Rosmadi Ismail. Manakala lapan ahli exco lelaki yang terpilih menerusi undian adalah Supritendan Mohd Dali Wahid, Subkhiddin Mohd Salleh, Mohd Firdaus Mohamed, Christopher Raj, Datuk Jefferey Low Han Chow, Datuk Mohd Hisamudin Yahya, Datuk Azisman Alias, Datuk Aminuddin Omar. Selain itu dua jawatan dalam exco wanita menyaksi disandang oleh dua muka baharu Datuk Suraya Yaacob dan Shafizah Umamah Abdul Mutalib. Menurut Suraya, beliau amat gembira kerana dipilih menjadi salah seorang ahli dalam exco FAM dan berharap bola sepak wanita akan lebih diberi perhatian selepas ini.