BEKAS presiden Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) Mitchel Platini mengkritik Sepp Blatter yang menerajui badan bola induk dunia selama 17 tahun sebelum ini. Platini dan bekas Presiden Persekutuan Bola Sepak Dunia (Fifa) itu digantung daripada terlibat dalam sebarang aktiviti bola sepak selama lapan tahun. Hukuman tersebut dikenakan selepas kedua-dua mereka didakwa terlibat dengan skandal rasuah berkaitan dengan pemindahan wang Fifa (lebih 2 juta Swiss Franc) kepada Platini di atas persetujuan Blatter pada tahun 2011. Platini memberitahu bahawa Blatter,81, merupakan seorang yang sangat pentingkan diri sendiri. "Dia fikir apabila dirinya semakin berumur, segalanya akan selesai dan terkubur bersama Fifa. Itu adalah harapannya. "Malah dia sentiasa memberitahu bahawa saya adalah orang terakhir yang akan ada bersamanya. Saya sedar dia telah menggunakan saya, dan ianya berakhir. "Jangan percaya apa yang dia cakap," jelas Platini kepada Le Monde. Tambah Platini yang kini berusia 61 tahun, walaupun hukuman penggantungan telah dikenakan, skandal tersebut sebenarnya masih belum berakhir. Platini digantung oleh Jawatankuasa Etika Fifa selepas menerima 'hadiah berlebihan' dan mencabuli kod peraturan pentadbiran bola sepak dunia itu. "Saya masih tidak tahu apa kesalahan saya," tambah Platini.