RAFAEL Nadal berpeluang cerah untuk mengakhiri badi kejuaraan di Terbuka Miami apabila mara ke final selepas menewaskan pemain Itali, Fabio Fognini 6-1, 7-5, awal pagi Sabtu. Fognini pemain bukan pilihan dilihat berdepan kesukaran pada set pertama yang dikuasai Nadal. Pemain Itali itu yang menghadapi masalah di bahagian siku bangkit memberi tentangan sengit pada set kedua tetapi kesilapan berganda yang dilakukannya pada mata akhir, membolehkan kemenangan berpihak kepada Nadal. Nadal akan beraksi pada final kelima di Miami tetapi tidak pernah memenanginya. Dia dijangka bertemu musuh tradisi, Roger Federer yang akan turun menentang pemain Australia, Nick Kyrgios dalam satu lagi pertembungan separuh akhir. "Saya beraksi dengan baik pada set pertama. Fognini melakukan banyak kesilapan. Pada set kedua, ia bukan kerana hilang tumpuan, tetapi saya kurang bernasib baik, " kata Nadal.