ROGER Federer terselamat daripada tersingkir di peringkat separuh akhir dalam aksi mendebarkan menentang Nick Kyrgios di Terbuka Miami, sekali gus memenuhi permintaan peminat yang mahu melihat dia beraksi menentang Rafael Nadal di gelanggang final. Federer bagaimanapun terpaksa berhempas pulas dalam perlawanan tiga set sebelum pemain veteran Switzerland itu menang dengan mata 7-6 (9) 6-7 (9) 7-6 (5). Terdahulu, Nadal telah menewaskan pemain Itali, Fabio Fognini 6-1 7-5 dalam perlawanan separuh akhir. Ini adalah kali kedua Federer berdepan Kyrgios di mana dia tewas kepada pemain itu di Madrid pada 2015. "Saya suka apabila menang dengan cara ini, sudah tentu saya ingat kekalahan saya di tangannya beberapa tahun lalu," kata Federer. Kemenangan itu juga menunjukkan kebangkitan luar biasa untuk pemain berusia 35 tahun ini yang telah memenangi Terbuka Australia dan Terbuka Paribas BNP musim ini. Namun bagi Kyrgios dia terpaksa menelan kekalahan ini dengan satu penyesalan besar, apabila mencetuskan kemarahan peminat yang menjerit semasa kedudukan terikat pada set ketiga. "Jelas sekali, saya seorang lelaki yang beremosi. Saya berdepan 'naik turun' dan menjadi tidak keruan. Saya rasa saya telah memberikan prestasi yang baik. Saya fikir penonton gembira menyaksikannya, begitu juga yang menontonnya di rumah. "Tetapi, saya tidak terkejut jika mendapati mereka berkatakan sesuatu yang buruk mengenai saya," katanya. Perlawanan akhir menentang Nadal pada Ahad akan mengulangi perlawanan akhir Terbuka Australia dengan pemain Sepanyol itu mahu menghentikan rentetan tiga kekalahan berturut-turut terhadap saingan lamanya. "Menang di sini akan menjadi sesuatu yang besar, dan gelaran penting yang belum pernah saya menang," kata Nadal, merujuk kepada empat kekalahannya di peringkat akhir Terbuka Miami sebelum ini.