KUALA LUMPUR: Juara Liga Ragbi Malaysia (LRM) 2017, Keris Conlay berharap kejohanan tahun depan dapat dilangsungkan di gelanggang bersesuaian atau stadium, seiringi usaha menjadikan sukan itu bertaraf profesional. Pengendali Keris Conlay, Mohd Farid Syazwan Abu Bakar berkata banyak perubahan positif telah dilakukan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) selaku penganjur liga dalam usaha membangunkan ragbi di negara ini. Namun sebagai sebuah kelab yang beraksi dalam kempen liga berkenaan, beliau berharap perlawanan liga pada musim baharu dapat dilangsungkan di gelanggang yang lebih sesuai. "Jika kita bandingkan musim ini dengan musim sebelumnya, memang banyak perubahan positif. Antaranya kehadiran penyokong yang lebih ramai dan disediakan tempat duduk untuk mereka. "Tetapi kami mewakili kelab yang bertanding, berharap pada masa akan datang dapat bermain di tempat yang lebih selesa serta dilengkapi kemudahan seperti di stadium," katanya kepada pemberita selepas aksi final LRM antara Keris Conlay dan Asas RC, Sabtu. Pada aksi final yang berlangsung di Padang A Universiti Putra Malaysia (UPM) itu, Keris Conlay menepati ramalan merangkul kejuaraan selepas menewaskan Asas RC 24-17. Lebih manis, kemenangan itu menyaksikan pemain Keris Conlay, Mohd Fairuz Ab Rahman dipilih sebagai Pemain Terbaik Perlawanan, sekali gus mengubati kekecewaan mereka pada final musim lalu apabila kecundang di tangan UPM Angels. Sebagai juara, Keris Conlay membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (MASOC), Datuk Seri Zolkples Embong. Sementara itu, tempat ketiga menjadi milik Mersing Eagles selepas mencatat kemenangan tipis 25-24 ke atas UiTM Lions. - BERNAMA