LONDON: Penyokong Arsenal dirakamkan bergaduh sesama sendiri di Stadium Emirates ketika pasukan kesayangan mereka seri 2-2 menentang Manchester City pada Ahad. ergaduhan itu tercetus ketika wujud kepincangan tentang situasi pihak pengurusan Arsenal sama ada mahu mengekalkan pengendali skuad The Gunners, Arsene Wenger dan penyokong kelab berkenaan dilihat memilih untuk bergaduh sesama sendiri bagi menyuarakan kekecewaan masing-masing. Prestasi tidak menentu dan kedudukan di tangga keenam, menyukarkan rekod bersih Arsenal melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara pada musim depan, mencetuskan perpecahan dalam kalangan penyokong yang menyaksikan wujud gerakan mendesak Wenger meletak jawatan. Dalam rakaman tersebut, beberapa penyokong bertumbuk sesama sendiri sehingga memaksa campur tangan penyokong lain untuk meleraikan situasi memalukan itu. Pergaduhan itu tercetus ketika Arsenal ketinggalan 1-2 pada separuh masa pertama. Pihak yang terlibat dalam pergaduhan berkenaan diarahkan keluar dari stadium tetapi punca sebenar belum dapat dipastikan walaupun dipercayai ada kaitan dengan desakan terhadap Wenger agar meninggalkan kelab London itu. Dalam satu lagi insiden, krew Arsenal Fan TV dilaporkan mencetuskan kemarahan penyokong yang setia kepada pengendali Perancis tersebut apabila menyuarakan pandangan anti-Wenger selepas perlawanan tersebut tamat. Mengulas tentang kejadian berkenaan, penyampai berita Arsenal Fan TV, Robbie berkata, penyokong yang mahu mencetuskan pergaduhan dengan mereka sebagai kumpulan penyokong yang pengecut dan langsung tidak menyaksikan perlawanan Arsenal. "Kami bertemu dengan beberapa peminat untuk bertanyakan pendapat tentang masa depan Wenger sama ada dia perlu kekal atau tidak, tetapi tindakan mereka tidak ubat seperti pengecut," katanya menurut laporan portal DailyStar.