suria

Sarri Puas Hati Mampu Buat Juventus 'Susah'

Gol Marek Hamsik berjaya sekat kemenangan Juventus. -fotoAP

PENGURUS Napoli Maurizio Sarri memuji penampilan skuad bimbingannya yang berjaya menyekat kemenangan Juventus.

Walaupun gagal meraih mata penuh, dia tetap berpuas hati kerana Napoli mampu memberi cabaran kepada Juventus.

Napoli mendapat satu mata di kandang sendiri di San Paolo dalam saingan Serie A, awal pagi Isnin.

Ketinggalan terlebih dulu seawal minit ketujuh menerusi gol Sami Khedira, Napoli akhirnya berjaya menyamakan kedudukan 1-1, sekali gus mengecewakan Juventus yang mahu pulang membawa penuh.

Gol Napoli diperolehi pada babak kedua menerusi Marek Hamsik selepas mereka terus menggempur pertahanan Juventus.

Sepanjang perlawanan, Napoli juga tampil dominan dengan penguasaan bola 61 peratus.

Tekanan yang dilancarkan Napoli membuat Juventus lebih banyak bertahan. Selain gol Khedira, mereka tidak mencipta peluang bersih lain.

"Ketika sebuah pasukan bermain seperti Napoli malam ini, seorang jurulatih mungkin pulang dengan sedikit gusar kerana keputusannya, tapi tentu tidak kecewa.

"Jarang-jarang di Itali kita dapat lihat Juventus dalam keadaan sukar," kata Sarri kepada Mediaset Premium.

"Pertandingan bermula sangat buruk, kerana kami ketinggalan seawal minit ketujuh.

"Juventus yang bertahan dengan sangat baik telah memberikan masalah besar kepada kami.

"Bagaimanapun kami tampil sangat baik untuk menghalang Juve daripada mendapatkan peluang-peluang lain atau menyerang balik.

"Saya rasa pendekatan Juventus disebabkan kami juga, kerana kami memaksa mereka untuk jadi defensif. Kami layak mendapat penghargaan untuk itu," katanya.

Walaupun seri, Juventus masih kukuh di puncak Serie A dengan 74 mata, unggul enam angka dari Roma yang menduduki tangga kedua.

Napoli berada di posisi ketiga dengan 64 mata.

Napoli, Serie A, Maurizio Sarri

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain