KUALA LUMPUR: Penganjuran Sukan Para Asean di Kuala Lumpur pada September ini bakal menyaksikan Malaysia tampil sebagai negara yang menghantar penyertaan terbesar. Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Kuala Lumpur (Masoc) 2017 Datuk Seri Zolkples Embong berkata selepas tarikh tutup pendaftaran mengikut nombor (EBN) bagi Sukan Para Asean tamat pada 31 Mac lalu, Malaysia berada di kedudukan teratas dari segi saiz kontinjen dan jumlah sukan yang disertai. "Malaysia selaku tuan rumah menghantar kontinjen terbesar seramai 372 atlet yang akan menyertai semua 16 jenis sukan. "Negara kedua terbesar adalah Thailand, kali ini mereka hantar 272 atlet dan akan menyertai 15 jenis sukan, kecuali sukan Para Berbasikal," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Ikrar Integriti Pegawai Sekretariat Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 di sini, Rabu. Zolkples berkata walaupun maklum balas atau maklumat berkaitan pengolaan sukan Para Asean tidak banyak dan tumpuan dilihat lebih diberikan kepada Sukan SEA, proses penganjurannya tetap seimbang dengan Sukan SEA. "Tindakan yang sama telah kita ambil kerana sukan Para Asean diadakan hanya selepas dua minggu berakhirnya Sukan SEA. "Kita tak ada masa kalau selepas Sukan SEA baru nak memulakannya, ia adalah satu proses berterusan," katanya. Jelasnya unit Para Asean di Masoc juga sentiasa berurusan dengan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan Persekutuan Sukan Para Asean (APSF) yang berpangkalan di Bangkok. Mengulas lanjut mengenai penyertaan dalam temasya kali ini, beliau berkata sebanyak 11 negara (termasuk Malaysia) akan mengambil bahagian melibatkan 1,449 atlet. Bagaimanapun angka ini dilihat akan bertambah kerana Vietnam masih belum menghantar pendaftaran dan dijangka akan menghantarnya pada 10 April ini. "Kita telah minta MPM untuk berurusan dengan Vietnam yang mana kita lihat tak ada masalah untuk kita beli kelonggaran ini," katanya. Beliau turut memaklumkan setakat ini sukan olahraga mencatatkan penyertaan paling tinggi melibatkan 272 atlet, diikuti sukan renang di mana 171 atlet dari sembilan negara telah mengesahkan penyertaan. Negara jiran, Indonesia menghantar penyertaan ketiga tertinggi selepas Malaysia dan Thailand iaitu seramai 209 atlet dan menyertai 12 jenis sukan. Katanya pendaftaran mengikut nama akan dibuka pada 15 April dan tarikh tutupnya adalah pada 12 Julai 2017. Sukan Para Asean 2017 akan bermula pada 17 hingga 23 September.