BEIJING: Syarikat elektronik gergasi China Hisense mengumumkan syarikat itu sebagai penaja rasmi Piala Dunia Fifa 2018 sekaligus menjadi jenama elektronik pengguna negara China pertama menaja kejohanan berprestij itu, lapor agensi berita China Xinhua. Selaku penaja rasmi, Hisense akan terlibat dalam pelbagai aktiviti pemasaran dan pengiklanan di peringkat global bagi Piala Konfederasi 2017 dan Piala Dunia Fifa 2018 di lebih 200 buah negara serta wilayah sekaligus meningkatkan pendedahan jenama itu di arena antarabangsa. Ia secara tidak langsung memberi peluang kepada Hisense mempamerkan logonya untuk acara utama Fifa serta diberikan hak termasuk akses kepada pengiklanan di stadium dan pada kad kredit. Presiden Kumpulan Hisense Liu Hongxin berkata, Piala Dunia Fifa satu acara sukan paling penting di dunia yang hanya boleh disaingi oleh Sukan Olimpik. Menaja kejohanan berprestij bukan sahaja memberikan peluang pemasaran besar-besaran untuk jenama Hisense malah menjadi satu inisiatif strategik yang penting kepada keseluruhan perusahaan. "Selama ini melalui penajaan sukan, Hisense telah memperoleh banyak pengalaman dan mengalami pertumbuhan jenama," kata Liu dalam sidang akhbar bersama Fifa pada Khamis. Sementara itu, Setiausaha Agung Fifa Fatma Samoura berkata, Fifa mengalu-alukan penaja baharu dengan tangan terbuka. "Kami tidak sabar untuk bekerjasama memandangkan syarikat itu adalah peneraju pasaran pengguna elektronik di China di mana populariti bola sepak dilihat terus berkembang," katanya. -Bernama