suria

Larian Obor KL 2017 Diteruskan Pada Ramadan - KJ

PUTRAJAYA: Acara Larian Obor Kuala Lumpur 2017 (KL 2017) sempena Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN kesembilan tetap akan diteruskan ketika bulan Ramadan ini.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata selain menukar waktu larian dari pagi ke petang, penganjur juga mempertimbangkan untuk melaksanakan  acara berkenaan pada sebelah malam.

"Kita tidak akan hentikan acara larian obor walaupun pada bulan puasa...kita ubah sedikit mungkin buat larian pada waktu petang dan berhenti sebentar untuk berbuka puasa.

"Kita hormati sensitiviti bulan puasa dan kemungkinan juga akan pertimbangkan larian pada waktu malam khususnya di kawasan ikonik yang telah dikenal pasti di setiap negeri," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Larian Obor KL 2017 sempena Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN di sini pada Jumaat.

Khairy berkata acara Larian Obor itu meliputi pelbagai gimik yang menarik dan berbeza bagi setiap negeri.

Antaranya obor dibawa mendaki Gunung Kinabalu di Sabah, ke Taman Negara Mulu, berenang dari Pulau Jerjak di Pulau Pinang, terbang ke udara melalui Wau Bulan Besar di Kelantan, menyelam di Pulau Perhentian, Terengganu, menaiki paragliding di Bukit Jugra, Selangor, dan terjun secara 'base jump' di Menara Kuala Lumpur. 

Katanya sebagai simbolik kepada penganjuran Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN kesembilan, seramai 29 pelari utama termasuk sembilan pelari Orang Kelainan Upaya (OKU) akan mengetuai larian itu di setiap lokasi berbeza.

"Kita ambil atlet yang terlibat pada Sukan SEA, atlet pelapis, atlet peringkat sekolah...juara MSSM, MSSD dan sebagainya.

"Mereka yang dipilih menjadi pembawa obor boleh bawa kawan-kawan dan bahagikan segmen larian. Ini saat yang sangat istimewa bagi yang berminat jadi pembawa obor tersebut," katanya menurut laporan Bernama.

Beliau berkata Larian Obor itu diharapkan dapat menjadi pembakar semangat kepada kontinjen negara dan rakyat Malaysia menjelang Sukan SEA pada 19 hingga 31 Ogos ini.

Acara Larian Obor akan bermula 14 Mei dari Johor dan berakhir 12 Ogos di Kuala Lumpur merangkumi 13 negeri, termasuk Wilayah Persekutuan Labuan dan Kuala Lumpur, dengan laluan sejauh 665.33km.

Orang ramai yang berminat menyertai Larian Obor KL 2017 dan menjadi pembawa obor boleh mendaftar di www.kualalumpur2017.com.my, bermula Jumaat. 

KL 2017

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain