KUALA TERENGGANU: Pengendali pasukan Terengganu FA, Irfan Bakti Abu Salim masih belum berpuas hati biarpun pasukannya berjaya mencatat kemenangan ke atas Sabah dalam saingan Liga Perdana yang berlangsung malam Jumaat. Beliau berkata banyak peluang diperoleh anak didiknya namun mereka gagal menterjemahkannya menerusi jaringan gol dalam aksi Liga Perdana yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini. "Saya agak kecewa dengan persembahan malam tadi (Jumaat)...penyudahnya masih kurang menjadi. Kita harap pemain dapat bangkit dan memperbaiki kelemahan selepas ini. "Namun saya berpuas hati dengan tiga mata penuh yang diperoleh walaupun mutu persembahan perlu dipertingkatkan," katanya kepada pemberita, di sini. Skuad Penyu berjaya menumpaskan Sabah dengan jaringan 2-0. Gol Terengganu muncul hasil jaringan Mohd Faiz Mohd Nasir pada minit ke-32 dan Lazaro Vinicius pada minit ke-51. - BERNAMA