KUALA TERENGGANU: Sikap rambang mata dengan tawaran wang daripada bookie atau dalang yang mengatur perlawanan bola sepak, hanya akan memendekkan kerjaya pemain andai terjebak dengan gejala itu. Malah pemain yang hanya memikirkan habuan dalam masa singkat sering 'ketagih' sehingga lupa ia akhirnya akan membawa padah. Exco Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri Datuk Rozi Mamat berkata pemain harus bersikap matang dan berfikiran jauh agar tidak tunduk kepada pujukan bookie. "Rasuah dalam bola sepak ini telah lama berakar umbi namun kini penguatkuasaan perlu diperketatkan untuk membanteras kegiatan ini. "Pemain muda terutamanya diharap tidak beranggapan tawaran sedemikian adalah sesuatu yang istimewa kerana akhirnya memusnahkan kerjaya dan masa depan mereka sendiri," katanya kepada Bernama. Rozi berkata antara formula mengelak gejala itu ialah dengan memiliki disiplin tinggi dan segera bertindak dengan menolak tawaran seperti itu sebelum 'ketagih'. Mengulas isu sama, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata bookie menjadikan sukan sebagai sasaran mendapatkan keuntungan mudah dan menjerat pemain dengan pelbagai tawaran. "Isu seperti ini sukar ditutup dan ia bukan hanya berlaku dalam sukan sahaja. Pemain perlu menjaga disiplin dan mempunyai integriti tinggi agar terus dapat memartabatkan bola sepak tanah air," katanya. Ahmad Razif yang juga Menteri Besar berkata ketegasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menangani isu ini wajar dipuji bagi memberi pengajaran dan peringatan supaya pemain sedar tentang tanggungjawap mereka. Bagi peminat bola sepak, Mohd Zaki Mat Yakim, pendakwaan dan hukuman ke atas pemain sebelum ini wajar dijadikan pengajaran. Katanya pemain perlu menyedari gejala sedemikian adalah sesuatu yang keji dan boleh merosakkan martabat bola sepak. Seorang lagi peminat sukan itu, Zubir Sulaiman berkata rasuah bola sepak ini tidak adil bukan sahaja kepada pasukan malah lebih terkesan ialah penyokong yang sentiasa memberi sokongan kepada pasukan mereka. "Mereka menyokong tanpa berbelah bagi dengan mengharapkan pasukan mereka menang secara bersih ataupun kalah dengan bermaruah...jadi ia (rasuah) perlu dibendung dari peringkat akar umbi," katanya.