suria

Belum Sempat Cuba Nasi Kandar Line Clear - Zainal

PETALING JAYA: Pulau Pinang sememangnya terkenal dengan hidangan nasi kandar dan tentunya tak sah jika tidak berkunjung ke restoran popular, Nasi Kandar Line Clear di tengah bandaraya George Town, terutama bagi yang baru berhijrah untuk mencari rezeki di negeri itu.

Namun bagi Ketua Jurulatih Pulau Pinang, Zainal Abidin Hassan, kesibukan menjalankan tugas untuk menggilap bakat pemain pasukan Harimau Kumbang itu menyebabkan beliau belum berkesempatan mencuba nasi kandar di restoran tertua itu.

"Saya pernah makan nasi kandar sebelum ini tapi belum cuba Nasi Kandar Line Clear. Sekarang masih belum ada masa untuk berkunjung ke sana kerana banyak tugasan perlu dilaksanakan. Lagipun saya masih baru lagi di sini," katanya kepada mStar Online.

Bekas pengendali Selangor itu berkata, walaupun beliau bukan penggemar nasi kandar tetapi keenakan menu popular tersebut harus dicuba.

"Insya-Allah, kena cuba juga sekali nanti barulah tahu apa yang istimewa nasi kandar tu. Tapi biarlah selepas selesai beberapa misi penting dahulu," katanya.

Zainal kini menetap di Pulau Pinang selepas dilantik mengemudi skuad negeri itu bermula 24 Mac lalu.

Namun beliau tidak menganggap tinggal berjauhan dengan keluarga sebagai satu masalah kerana pernah melalui situasi sama ketika memimpin Pahang sebelum ini.

"Ia tak jadi masalah, saya akan balik apabila cuti. Macam semalam (Ahad) habis perlawanan, saya balik ke Shah Alam. Pagi esok saya balik (Pulau Pinang), tak adalah jauh sangat," katanya.

Diminta mengulas mengenai prestasi Pulau Pinang ketika menentang Felda United, Zainal berkata, beliau berpuas hati kerana anak buahnya mempamerkan kesungguhan sepanjang perlawanan tersebut.

"Walaupun masih ada ruang yang perlu diperbaiki tapi pemain tunjukkan mereka mampu bermain dengan baik. Saya harap mereka dapat kekalkan prestasi cemerlang ini ketika berdepan Kelantan, Sabtu ini," katanya.

Jelas Zainal, mereka memerlukan mata bagi memperbaiki kedudukan dalam Liga Super dan kemenangan itu melegakannya.

"Dengan kemenangan semalam, kami berjaya menghampiri dua pasukan di kelompok bawah yang lain. Walaupun tipis tapi peluang masih terbuka luas, kita perlu bijak guna peluang itu," katanya.

Pada malam Ahad, Pulau Pinang menang tipis 1-0 ke atas Felda United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

Pulau Pinang yang telah mengharungi sembilan perlawanan kini masih menghuni tangga tercorot liga dengan mengutip lima mata.


Artikel Berikut

Artikel Lain