BEKAS pemain Arsenal John Hartson mengkritik prestasi buruk The Gunners susulan kekalahan 0 - 3 di tangan Crystal Palace dan mendesak pengurus Arsenal Wenger supaya meninggalkan Emirates. Hartson pernah bermain di bawah kendalian Wenger pada pertengahan tahun 1990 dan mengakui menjadikan Wenger sebagai idola selepas membantu Arsenal menjuarai tiga gelaran liga dan enam Piala FA sepanjang tempoh perkhidmatannya selama 21 tahun. Namun bekas penyerang Wales tersebut kini merasakan perubahan perlu dilakukan di Emirates selepas kekalahan terbaharu yang memalukan itu. Arsenal tewas 0-3 kepada Palace sekali gus meletakkan pasukan itu di tangga keenam liga dengan ketinggalan tujuh mata di belakang Manchester City yang menghuni tempat keempat. "Saya pernah bekerja di bawah Wenger dan menyifatkan Wenger sebagai jurulatih yang hebat. Namun sekarang saya fikir sudah tiba masanya untuk dia berundur. "Ia menyakitkan hati untuk saya katakan sebegitu kerana saya amat meminati Wenger. "Namun, saya dapat lihat krisis kepimpinan dan kerjasama berpasukan melanda Arsenal. Pemain juga tiada semangat juang dan kekalahan terbaharu itu menjejaskan peluang mereka untuk melayakkan diri pada aksi Liga Juara-Juara musim depan," katanya.