PETALING JAYA: Ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David terkandas di pusingan suku akhir Kejohanan Skuasy Wanita Dunia 2017 yang berlangsung di Pusat Skuasy El Gouna, Mesir. Nicol yang juga pemain ranking keenam dunia tewas 6-11, 5-11, 9-11 kepada pemain remaja Mesir, Nouran Gohar pada Selasa. Ia adalah tahun kedua berturut-turt Nicol, 33, tersingkir pada pusingan suku akhir selepas tewas kepada pemain No.1 dunia, Nour El Sherbini di peringkat sama di Kuala Lumpur tahun lalu. Nouran yang juga pemain ranking kelima dunia akan bertemu Nour sekali gus menyaksikan ulangan separuh akhir yang sama seperti tahun lalu. Nour, 21, mara ke separuh akhir selepas mengatasi pemain England, Sarah Jane Perry 11-6, 11-3, 12-10 pada aksi suku akhir.