PETALING JAYA: "Jadikan kejayaan benam Felda United sebagai sejarah dan jangan lena dibuai mimpi." Itu amanat yang diberikan Ketua Jurulatih Pulau Pinang, Zainal Abidin Hassan kepada anak buahnya menjelang perlawanan menentang Kelantan pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya negeri itu, Sabtu ini. Sebaliknya, Zainal mahu anak buahnya mengekalkan momentum kemenangan dalam usaha mengutip mata penuh di gelanggang sendiri. "Saya lihat pemain sudah tunjuk mereka boleh bermain dengan baik. Mereka hanya perlu kekalkan prestasi itu ketika berdepan Kelantan. "Sudah tentu tiga mata amat berharga bagi kami tetapi Kelantan pastinya akan memberi saingan sengit selepas kekalahan kepada Johor Darul Ta'zim malam semalam," katanya. Justeru, bekas pengendali Selangor dan Pahang itu mahu anak buahnya mengelak sebarang kesilapan dan menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk mencipta kemenangan. "Masih ada banyak ruang yang perlu diperbaiki tetapi saya percaya pasukan ini boleh pergi lebih jauh. Pemain perlu bijak guna kelebihan pada aksi ini," katanya. Mengakui tugas di Pulau Pinang sebagai satu tanggungjawab berat, Zainal berkata, keutamaannya ketika ini adalah memastikan skuad Harimau Kumbang itu kekal beraksi pada saingan Liga Super musim depan dan melayakkan diri ke Liga Malaysia. "Sejujurnya saya sedang memikul tugas berat kerana perlu mengeluarkan pasukan daripada zon penyingkiran dengan mata yang begitu jauh. "Namun dengan kemenangan ke atas Felda, insya-Allah kami akan terus berusaha mendekati pasukan lain," katanya. Pada masa sama, jurulatih berusia 55 tahun itu berkata, tiada istilah menyerah kalah dalam dirinya walaupun ramai berpendapat peluang Pulau Pinang semakin tipis. "Saya percaya kita masih ada peluang, cuma kita perlu bijak ambil peluang itu. Biarlah saat-saat akhir yang menentukan dan jangan kita menyesal kemudian hari," katanya. Pulau Pinang akan melayan kunjungan Kelantan yang kini menduduki tangga keenam liga pada Sabtu ini. Skuad Harimau Kumbang itu menduduki tangga tercorot liga dengan mengutip lima mata daripada sembilan perlawanan setakat ini.