suria

Kiang Meng-Pei Jing Mara Separuh Akhir Terbuka Singapura

SINGAPURA: Beregu campuran nombor dua negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mara ke separuh akhir kejohanan badminton Terbuka Singapura, di sini, Jumaat.

Selepas tewas set pertama 10-21 kepada pasangan nombor lima dunia, Joachim Fischer Nielsen-Christina Pedersen dari Denmark, Kian Meng-Pei Jing bangkit memenangi dua set seterusnya 21-18, 21-18 dalam pertarungan suku akhir selama 69 minit.

Kian Meng-Pei Jing yang juga beregu nombor 10 dunia adalah satu-satunya wakil negara yang berjaya ke separuh akhir kejohanan ini selepas beregu lelaki utama, Goh V Shem-Tan Wee Kiong tumbang dalam aksi suku akhir mereka petang tadi.

Di separuh akhir esok, mereka akan menentang pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai yang menyingkirkan pilihan ketujuh dari Indonesia, Praveen Jordon-Debby Susanto21-17, 21-13.

Bercakap kepada Bernama selepas perlawanan itu, Pei Jing, 24, berkata sokongan padu daripada penyokong membantunya dan Kian Meng, 22, untuk menewaskan lawan mereka.

"Kami seperti bermain di laman sendiri, begitu ramai penyokong di sini," kata Pei Jing yang pada masa sama berterima kasih kepada penyokong yang 'menggegarkan' Stadium Tertutup Singapura dengan laungan "Malaysia Boleh!'

Mengenai peluang mereka ke atas pasangan Thailand itu esok, Pei Jing berkata: "Peluang adalah 50-50."

"Kami pernah sekali bertemu mereka dan pasangan itu kini nampak semakin selesa. Apapun kami akan berjuang untuk Malaysia. Kami harap dapat bermain sebaik hari ini dan tiada tekanan untuk kami," katanya.

Sebagai rekod, selain menundukkan Praveen-Debby, pasangan Thailand itu juga menyingkirkan pilihan kedua yang juga juara Olimpik, Ahmad Tontowi-Liliyana Natsir di pusingan pertama.

Ini adalah kali pertama bagi Kian Meng-Pei Jing, juara Masters Malaysia tahun ini, layak ke separuh akhir kejohanan Siri Super.

Terdahulu, V Shem-Wee Kiong gagal menempah tiket ke separuh akhir kejohanan yang menawarkan hadiah wang sebanyak US$350,000 (RM1.54 juta).

Mereka yang juga pilihan kedua tewas kepada pasangan Indonesia, Hardianto Hardianto-BerryAngriawan 15-21, 15-21 dalam pertarungan selama 36 minit.

Hardianto-Berry akan menentang beregu nombor dua dunia, Li Junhui-Liu Yuchen di separuh akhir esok.

Terbuka Singapura

Artikel Sebelum

Jijoe Juara Dunia Acara Keirin

Artikel Berikut

Sir Chris Hoy Puji Jijoe

Artikel Lain