suria

Dollah Akui Persembahan Tok Gajah Menurun

KETUA Jurulatih Pahang, Dollah Salleh mengakui prestasi anak buahnya sedikit menurun ketika menentang Selangor sehingga menyebabkan mereka sekadar terikat 2-2 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur di sini, Sabtu.

Dollah berkata hal itu sudah dijangkakan menyebabkan beliau bersyukur kerana skuad Tok Gajah sekurang-kurangnya masih mampu mengutip satu mata berharga.

"Sesebuah pasukan yang beraksi cemerlang dalam beberapa perlawanan sudah pasti persembahan mereka akan kembali menurun sedikit.

"Saya sudah menjangkakan perkara ini apabila permainan kita seperti serba tidak menjadi terutama pada separuh masa pertama.

"Namun babak kedua menyaksikan Pahang cuba bangkit dan ia hanya berkesan pada 10 minit terakhir apabila gol penyamaan berjaya dihasilkan oleh Mohd Faisal Mohd Rosli," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan itu.

Dollah juga mengakui pasukan kendaliannya sukar untuk merobek gawang The Red Giant rentetan mereka mempamerkan taktik bertahan di dalam kotak penalti.

"Saya selalu tekankan kepada pemain agar masuk ke dalam kotak penalti jika mahu mencipta jaringan namun gerakan itu jarang dilakukan.

"Bagaimanapun saya tidak menyalahkan pemain sepenuhnya kerana pihak lawan juga mengamalkan strategi berkampung dalam kotak penalti," katanya.

Sementara itu, pengendali Selangor P. Maniam berkata pasukannya seharusnya mencatat kemenangan tetapi nasib tidak menyebelahi mereka apabila Pahang berjaya memperoleh gol penyamaan pada minit-minit akhir.

"Walaupun sepatutnya pulang dengan tiga mata tetapi kami masih gembira untuk mendapat satu mata di tempat lawan.

"Permainan Selangor malam ini sangat baik dengan mencipta banyak peluang dan menghasilkan dua gol tapi Pahang mampu mengejarnya," katanya.

Maniam berkata pujian juga harus diberikan kepada pemain pertahanan import mereka, Ogo Ukah yang berusaha keras dalam menyerap serangan Pahang. –Bernama 

Dollah Salleh, Tok Gajah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain