suria

MSN Yakin FAM Ada Formula Terbaik Siapkan Skuad B-22

Ahmad Shapawi Ismail

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) yakin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat mencari formula terbaik bagi mempersiapkan skuad bawah 22 tahun (B-22) untuk menghadapi Sukan SEA ke-29 di Kuala Lumpur dari 19 hingga 30 Ogos depan.

Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata MSN tidak mempunyai masalah dengan perubahan struktur organisasi dalam badan induk bola sepak negara itu, malah beliau yakin ia dapat memantapkan lagi persediaan skuad B-22 itu.

"Perubahan jurulatih tidak ada masalah kerana Datuk Ong Kim Swee juga tidak asing dengan kita di MSN. Selama ini Datuk Ong sentiasa terlibat dengan program kita dan itu tidak menjadi isu besar. Sesiapa sahaja dipilih oleh FAM untuk menjadi jurulatih, kita hormati kerana mereka lebih mengetahui.

"Kita akan beri sokongan dengan menyediakan khidmat sains sukan kepada pemain seperti yang diminta pengurusan FAM dalam memastikan pasukan ini dapat bersedia dengan lebih baik menjelang Sukan SEA," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) program 'One State One University One Centre' di MSN di sini pada Selasa.

Pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) dengan FAM mengenai Fasa III Program Kita Juara 2017 pagi tadi, beliau berkata MSN bersetuju dengan beberapa pendekatan yang akan diambil oleh FAM dalam program latihan untuk pasukan B-22, pasukan bola sepak wanita, futsal lelaki dan wanita.

Kita dimaklumkan oleh FAM mengenai kedudukan jurulatih yang terlibat bagi setiap pasukan dan kita bersetuju dengan apa telah FAM lakukan dan akan bagi sokongan kepada FAM sebaik mungkin sepertimana kita beri sokongan kepada sukan-sukan lain untuk menghadapi Sukan SEA 2017, katanya.

Mengulas mengenai peluang skuad B-22 untuk meraih pingat emas dalam keadaan persediaan pasukan yang singkat, Ahmad Shapawi berkata beliau yakin dengan pemain dipilih menyarung jersi negara yang telah melakukan persiapan masing-masing ketika beraksi dalam Liga Malaysia.

"Pada saya, tidak timbul persiapan saat akhir kerana kebanyakan pemain adalah mereka yang beraksi dalam Liga Malaysia. Kita berharap berbaki empat atau lima bulan ini,  usaha lebih serius dapat dilakukan FAM agar pemain dapat melakukan latihan dengan lebih baik khususnya skuad bawah 22 tahun lelaki.

"Di bawah Program Kita Juara, sasaran kita untuk menjadi juara keseluruhan Sukan SEA dan untuk muncul juara keseluruhan, kita kena menang banyak pingat emas. Bola sepak pula adalah sukan paling popular dan kalau dapat menang emas, dan muncul juara keseluruhan, akan lebih manis lagi," katanya.

Untuk rekod, skuad bola sepak negara meraih pingat emas pada edisi 2009 di Laos dan 2011 di Jakarta. 

Dalam pada itu, Malaysia muncul juara keseluruhan pada Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur dengan kutipan 111 pingat emas, 75 perak dan 85 gangsa.

FAM, MSN, Ong Kim Swee

Artikel Sebelum

Artikel Lain