KEDAH masih tidak dapat menggunakan khidmat 'arkitek' skuad itu kerana belum pulih daripada kecederaan ketika bertandang ke Ipoh bagi menentang pasukan Perbadanan Kemajuan Negari Perak (PKNP) pada Jumaat. Skuad hijau kuning yang membawa kelebihan enam gol berbalas satu dalam suku akhir Piala FA bagaimanapun bakal menerima semula sentuhan penyerang importnya. Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe berkata, Liridon Krasniqi yang direhatkan pada perlawanan sebelum ini akibat kecederaan tidak dapat diturunkan lagi minggu ini. Namun, Ken Ilso Larsen (gambar) yang digantung perlawanan akan kembali membantu misi ke perlawanan separuh akhir. Jelas beliau, Liridon yang cedera ketika sesi latihan memerlukan rehat lebih lama bagi meastikan kesakitan itu tidak berulang. "Saya tidak ada masalah untuk menamakan Ilso Larsen kerana dia telah menjalani hukuman digantung satu perlawanan "Saya harap pemain akan bangkit daripada kekalahan dalam Liga Super dan membawa kedah ke saingan separuh akhir. mereka juga pastinya ingin mengakhiri pengalaman pahit itu dan membawa semangat baru. "Saya sedar bukan mudah untuk memastikan moral dan mental pulih selepas kekalahan lalu namun kita tidak ada masa lagi untuk terus 'tidur' dan perlu bangkit dan menjadi lebih baik," katanya kepada mStar Online. Cheng Hoe memberiahu, Liridon akan kembali menguatkan kesebelasan utama Kedah dalam perlawanan Liga Super seterusnya selepas ini. Ini kerana jelasnya, barisan kejurulatihan ingin pemain berkenaan benar-benar pulih dan aksinya tidak terjejas dalam permainan. "Kita tidak boleh memperjudikan kecergasan pemain kerana ia akan bawa padah. Lebih baik dia kembali selepas cergas sepenuhnya," ujarnya. Kelincahan Liridon Krasniqi menjadi kebimbangan pertahanan lawan.