JOSE Mourinho menarik nafas lega apabila seorang daripada penyerangnya menemui semula sentuhan, sekali gus mampu menggalas tugas untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh penyerang berbisa, Zlatan Ibrahimovic yang direhatkan sehingga hujung musim akibat kecederaan. Bos Manchester United itu menghamburkan pujian terhadap Anthony Martial susulan persembahan bertenaga pemain muda tersebut ketika membenam Burnley pada aksi Liga Perdana Inggeris untuk menghidupkan kembali peluang menempah slot Liga Juara-Juara. Martial menjaringkan gol pembukaan sebelum kapten pasukan, Wayne Rooney menjadikan kedudukan 2-0 untuk menamatkan badi tanpa kemenangan di Stadium Turf Moor bagi tempoh 41 tahun. Sebelum ini, Mourinho mengkritik hebat pemain berusia 21 tahun itu dan pada minggu lalu, dia mencabar Martial untuk menjadi seperti Marcus Rashford yang menjadi watak penting ketika menundukkan pendahulu liga, Chelsea. Namun ternyata persembahan berkualiti pada Ahad mengundang reaksi positif daripada Mourinho apabila melihat kemampuan pemain Perancis itu mengisi kekosongan Ibrahimovic. "Martial perlu faham apa yang kami perlukan daripadanya, bukan sahaja untuk pasukan tetapi untuk dirinya. "Jika dia mahu menjadi pemain istimewa, dia boleh lakukan seperti hari ini (Ahad) kerana menunjukkan atitud dan keinginan yang tinggi. "Kami gembira kerana memiliki pemain baharu (Martial) sehingga hujung musim ini," katanya. Manchester United hanya ketinggalan satu mata di belakang Manchester City yang menduduki tangga keempat.