PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) tidak mahu mengisi jawatan ketua jurulatih hanya 'tangkap muat', sebaliknya perlu mengambil masa bagi memastikan individu tepat menguruskan skuad juara Piala Malaysia 2016 ini. Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar (gambar) berkata, pencarian jurulatih baharu (menggantikan Tan Cheng Hoe) bukan tugas mudah dan perlu menilai dari setiap sudut dan berharap ia dakan diselesaikan secepat mungkin. "Buat masa sekarang kami telah pun menyenarai pendek calon-calon jurulatih yang sesuai untuk mengendalikan pasukan Kedah. Semuanya (tiga calon) dalam berbincangan kedua-dua pihak," jelasnya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa. Walaupun enggan mendedahkan nama-nama calon, Aminuddin memberitahu salah seorangnya adalah bekas jurulatih luar negara yang pernah melatih skuad Helang Merah. "Walaupun ada calon dari luar negara, peratusan jurulatih tempatan mencari pilihan. Salah seorang yang menjadi tumpuan adalah jurulatih dari Perak. Bagaimana pun ia bukanlah keputusan akhir kerana kami masih dalam perbincangan. "Kemungkinan besar nama jurulatih baharu itu akan diumumkan selepas perlawanan akhir Piala FA nanti," tambah Aminuddin. Dalam pada itu, Aminuddin meminta kepada semua pemain agar memberi tumpuan kepada perlawanan penting separuh akhir Piala FA hujung bulan ini. "Mereka semua perlu bangkit dan menunjukkan pretasi terbaik. Ketepikan masalah jurulatih ini dan fokus kepada permainan sahaja. Apa yang penting sekarang pemain-pemain hanya tumpukan kepada perlawanan Piala FA dan Liga Super sahaja. "Saya tidak mahu isu jurulatih ini akan menjadi penyebab moral pemain-pemain jatuh. Pihak pengurusan akan cuba terbaik untuk mengisi kekosongan jawatan yang ditinggalkan Cheng Hoe ini," jelasnya lagi. Pasukan Kedah bakal beraksi dalam saingan separuh akhir Piala FA melayan kunjungan Terengganu pada 30 April ini sebelum bertandang ke Stadium Ismail Nasiruddin Shah pada 13 Mei bagi aksi timbal balik. Manakala final Piala FA berlangsung pada 20 Mei di Stadium Shah Alam.