PERLAWANAN derby antara Manchester City dan Manchester United di Stadium Etihad, awal pagi Jumaat berkesudahan tanpa gol. Keputusan ini jelas mengecewakan kedua-dua pasukan yang masing-masing mahu mengukuhkan kedudukan dalam carta liga. City sempat mempunyai sedikit kelebihan dari segi jumlah pemain setelah pemain United, Maouane Fellaini dilayangkan kad merah pada minit ke-84. Namun, kegagalan skuad bimbingan Pep Guardiola ini untuk menjaringkan gol juga disebabkan persembahan cemerlang penjaga gawang United David de Gea yang melakukan banyak penyelamatan. Keputusan seri ini sekali gus menjadikan persaingan merebut empat kedudukan teratas liga menjadi semakin panas. City kini berada di posisi empat dengan 65 mata, hanya berbeza satu mata dengan United di bawahnya. Bagi United, keputusan ini telah memanjangkan rekod tanpa kalah mereka dalam 24 perlawanan berturut-turut. Bermain di kandang sendiri, City tampil dengan kekuatan terbaik. Sergio Aguero menjadi penyerang tunggal dengan sokongan pemain trio Kevin de Bruyne, Raheem Sterling dan Leroy Sane. Berbeza dengan United yang kehilangan dua pemain bintangnya iaitu Zlatan Ibrahimovic dan Paul Pogba, Jose Mourinho telah meletakkan trio di barisan hadapan yang terdiri daripada Anthony Martial, Henrikh Mkhitaryan dan Marcus Rashford. Fellaini, Michael Carrick dan Ander Herrera di letakkan di tengah. Sementara itu Mourinho mempunyai alasan apabila pasukannya hanya mencatatkan penguasaan 39 peratus bola dalam perlawanan ini. Dia mengakui bahawa United tidak mampu bermain maksima dan faktor kepenatan menjadi antara penyebabnya. Katanya United masih berjuang di dua saingan liga dengan jumlah pertandingan paling banyak antara empat pasukan teratas yang lain. Selain di Liga Perdana Inggeris, United turut bersaing di Liga Europa. "Sudah tentu kami mempunyai banyak masalah, dengan begitu banyak kecederaan, banyak pertandingan, jadi ia sangat memenatkan," kata Mourinho memetik BBC. "Para pemain sudah memberikan segalanya. Babak pertama berjalan seperti apa yang kami inginkan, kami mempunyai pengusaan penuh dan bertahan dengan cukup mudah dan mengawal permainan." "Pada babak kedua, kami tak mampu melakukan serangan balik, kami kehilangan bola dengan terlalu mudah," katanya.