suria

Tolong Faham Bahasa!

Pasukan Selangor didakwa sebagai salah satu pasukan yang gagal menyelesaikan tunggakan gaji pemain.

PETALING JAYA: Kerjasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia Berhad (FMLLP) tidak akan melayan aduan pihak tertentu menerusi laman media sosial yang mendakwa Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan Persatuan Bola Sepak Melaka (Mafa) gagal membayar tunggakan gaji pemain mereka.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan FMLLP pada Khamis, badan pentadbir Liga Malaysia itu perlu mendapatkan kesahihan daripada pihak berkuasa berkaitan terlebih dahulu sebelum tindakan susulan diambil.

"Memandangkan banyak persoalan ditimbulkan mengenai tunggakan gaji bekas pemain Selangor dan Melaka United yang tidak dibayar FAS dan Mafa di media sosial, FMLLP ingin menegaskan bahawa tidak ada apa-apa kes yang telah dijatuhkan hukum oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)/Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) berkenaan tunggakan gaji pemain tersebut.

"Pihak FMLLP tidak mengambil tindakan ke atas mana-mana isu yang dilaporkan di media sosial. FMLLP perlu mendapat kesahihan daripada pihak berkuasa yang berkaitan sebelum bertindak seterusnya," demikian menurut kenyataan itu.

Tegas FMLLP, perlu diingat penalti yang dijatuhkan terhadap pasukan terlibat adalah berkait dengan kegagalan mereka memenuhi syarat-syarat pendaftaran.

"Jika tidak, sudah tentu mereka dapat melengkapkan pendaftaran mereka dengan deklarasi dan dokumen-dokumen yang sahih.

Melaka United tidak terkecuali didakwa gagal membayar tunggakan gaji pemain mereka.

"Jika mereka dikatakan telah lengkap pembayaran kesemua perkara yang perlu, tetapi gagal memuatnaik dokumen yang perlu untuk melengkapkan pendaftaran mereka, walau telah diberi ruang masa, diberi peringatan bertulis dan lisan, maka kesalahan atau perlanggaran syarat pendaftaran pasukan tetap sudah berlaku," katanya.

Menurut FMLLP lagi, ia bukanlah peraturan baru sebaliknya peraturan sedia da dalam Liga Malaysia sejak liga diuruskan FAM sebelum ini.

"Jadi, adalah amat mengelirukan apabila sesetengah pihak cuba menyamakan isu ditangan dengan kes-kes individu yang mungkin tidak ada kata putus atau keputusan dari pihak yang berkuasa di dalam membuat keputusan mengenai perkara itu," katanya.

Susulan itu, FMLLP berharap agar pihak yang cuba mencari "fakta" kes-kes lain untuk memesong perhatian daripada fakta yang sebenar mengetahui kesalahan telah berlaku.

"Perbaikilah kesalahan itu kerana walau berapa banyak lagi "fakta" yang dapat dicari, ia tidak akan menukar fakta bahawa anda telah melakukan kesalahan dan ia perlu dibetulkan.

"Untuk masa depan bolasepak Malaysia, mainkanlah peranan anda dan betulkanlah kesalahan itu. Itu akan lebih membantu industri bolasepak tempatan dari mencari kesalahan pihak yang lain," tegasnya.

Pada Selasa, dua pasukan Liga Super - Kelantan dan T-Team - selain Perlis dan ATM (Liga Perdana) dikenakan pemotongan enam mata kerana gagal menyelesaikan tunggakan gaji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perkeso dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi tahun sebelum ini.


FMLLP, FAS, Mafa, tunggakan gaji

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain