PETALING JAYA: Mahkamah majistret di sini mengenakan denda RM6,000 terhadap Francis Forkey Doe kerana menggunakan kereta diklon. Pemain Liberia itu didakwa mempamerkan nombor pendaftaran palsu iaitu BLK 17 pada kereta BMW 325i di tempat letak kenderaan di hadapan Restoran Alfa Maju, Jalan Puteri 1/6, Bandar Puteri, Puchong di sini, jam 4 pagi, pada 5 Mei lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Forkey Doe mengaku bersalah atas pertuduhan itu. Penyerang utama Selangor berusia 31 tahun itu yang tidak diwakili peguam memohon kepada mahkamah agar hukuman diringankan. "Saya ada tiga anak dan berjanji tidak akan melakukan kesalahan itu semula," katanya. Forkey Doe ditahan di Bandar Puteri Puchong pada pukul 5 pagi selepas disyaki memiliki BMW klon pada 5 Mei lalu. Semakan nombor casis kenderaan itu didapati tiada rekod dalam sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).