LARIAN Baton Bangkit Bersama yang dianjurkan bersempena penganjuran Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para Asean ke-9 atau Kuala Lumpur 2017 bakal tiba di destinasi terakhir di Singapura pada Sabtu ini. Larian baton telah menjelajah ke sembilan buah negara Asia Tenggara yang bermula di Brunei Darussalam pada 5 Mac lalu sebelum tiba di Singapura. Delegasi Malaysia ke Singapura akan diketuai oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan akan disertai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Lokman Hakim Ali serta Ketua Pegawai Eksekutif, Sekretariat Jawatankuasa Pengelola Malaysia (Masoc) Datuk Seri Zolkples Embong. Larian itu dijadualkan bermula dan berakhir di Scape Playspace pada 9 pagi. Larian sejauh lebih 15 kilometer itu akan melintasi beberapa bangunan ikonik negara tersebut seperti Youth Olympic Park, Marina Bay Sands, The Merlion dan Sir Stamford Raffles Statue. Larian di Kota Singa itu juga bakal menyaksikan penyertaan daripada barisan atlet negara Singapura termasuk atlet paralimpik daripada pelbagai acara sukan termasuk personaliti sukan terkemuka negara itu. Antara yang dijadualkan hadir ialah atlet olahraga Veronica Shanti iatu pemenang pingat emas bagi acara olahraga 200m di Sukan SEA 2015 di Singapura serta legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad. Larian baton itu adalah kesinambungan daripada acara di Indonesia yang berlangsung pada 30 April lalu. Sebagai perhentian terakhir, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Singapura, Grace Fu Hai Yien akan menyerahkan semula baton tersebut kepada Khairy di Pusat Pemeriksaan KTM Woodlands. Khairy kemudiannya akan membawa pulang baton tersebut ke Malaysia dengan menaiki kereta api melalui bandaraya Johor Bahru yang akan menjadi titik permulaan bagi Larian Obor Kuala Lumpur 2017 pada hari yang sama. Larian Baton Bangkit Bersama merupakan praacara kepada temasya sukan KL2017 yang dianjurkan oleh Masoc dengan kerjasama negara-negara terlibat. Ia merupakan salah satu usaha mempromosikan KL2017 kepada rakyat di negara-negara peserta serta untuk mencerminkan semangat perpaduan serta kekitaan antara penduduk rantau Asia Tenggara melalui sukan. Kuala Lumpur selaku tuan rumah dan penganjuran Larian Baton Bangkit Bersama adalah julung kali diadakan di dalam sejarah penganjuran Sukan Asia Tenggara. Malaysia berharap agar ia akan menjadi sebuah legasi yang akan disambung oleh negara tuan rumah temasya sukan ini yang seterusnya. KL2017 akan berlangsung pada 19 hingga 30 Ogos 2017 bagi temasya Sukan SEA dan 17 hingga 23 September 2017 bagi Sukan Para Asean.