suria

Arsenal Sedia Pecah Rekod Perpindahan

BINTANG Real Madrid yang menjadi buruan kelab Liga Perdana Inggeris. - Getty

ARSENAL sedia memecah rekod perpindahan untuk mendapatkan penyerang idaman walaupun terpaksa bersaing dengan seteru utama, Chelsea dan Manchester United.

Bintang Real Madrid, Alvaro Morata menjadi pilihan Arsene Wenger selepas pemain kelahiran Sepanyol itu gagal menempatkan diri dalam kesebelasan utama skuad Los Blancos pada musim ini.

Morata menyertai semula Real Madrid dari Juventus menerusi perjanjian pembelian semula pada awal musim ini, tetapi gagal mempamerkan aksi cemerlang ekoran jarang turun beraksi.

Susulan itu, pemain berusia 24 tahun tersebut dikaitkan dengan perpindahan ke beberapa kelab gergasi di Liga Perdana Inggeris termasuk Chelsea dan Manchester United.

Namun Arsenal juga sedia memburu tandatangan pemain itu selepas bintang tengah mereka, Alexis Sanchez masih enggan menandatangani kontrak baharu dan dilaporkan mahu meninggalkan Emirates pada hujung musim ini.

Morata dilihat calon yang sesuai menggantikan Sanchez dan Wenger sedia mengeluarkan belanja sebanyak 50 juta pound sterling (RM280 juta) bagi membawa pemain Sepanyol itu ke London.

Jika berjaya, perpindahan Morata akan menjadi paling mahal di kelab Arsenal selepas Mesut Ozil yang dibeli daripada Real Madrid pada 2013 dengan harga 42 juta pound sterling (RM235 juta).

Morata telah menjaringkan 20 gol dalam 40 penampilan pada musim ini, sekali gus menunjukkan kualiti sebagai penyerang berbisa walaupun jarang diturunkan.

Arsenal, Alvaro Morata

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain